KUALA LUMPUR – Ahli Parti Amanah Negara (Amanah) diseru supaya sentiasa bersedia menghadapi masyarakat yang mudah panik apabila sentiasa mengaitkan parti itu dengan DAP.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib yang menegaskan perkara itu berkata, setiap ahli perlu menyedari realiti cabaran yang dihadapi oleh negara dalam mengekalkan demokrasi untuk semua.
“Saya harap mesyuarat kali ini boleh memikir ke hadapan bagaimana kita boleh menghadapi masyarakat kita yang cepat panik. Sikit-sikit salah DAP. Mereka anggap DAP berkuasa (kuasai parti).
“Inilah realiti konteks cabaran yang dihadapi oleh kita. Kita mahukan demokrasi, tapi kalau kita tidak menggunakan sumber yang ada sebaik mungkin, kita tidak boleh capai demokrasi yang kita mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Gombak kali ketiga di Dewan Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Amanah Gombak itu turut berharap pemilihan parti berkenaan dapat dijalankan dengan penuh demokrasi ekoran setiap ahlinya sudah terlatih berdepan dengan perbezaan di luar parti.
Sehubungan itu, Saari yang juga bekas pemimpin Pas menegaskan, perbezaan yang wujud dalam Amanah seharusnya dapat diurus dengan mudah tanpa timbul sebarang perkara tidak diingini.
“Kita bukan hanya memimpin Parti Amanah Negara, tapi kita memimpin negara itu sendiri.
“Apa sahaja jawatan yang diberikan di dalam kementerian, jawatan di peringkat negeri, di jabatan atau agensi-agensi yang ada, kita tak melatih ahli kita untuk berebut-rebut akan jawatan itu.
“Bahkan, kita melatih untuk terus membantu rakan-rakan dari keempat-empat komponen parti Pakatan Harapan (PH) yang berada dalam kementerian supaya mereka dapat memperkemaskan jalan mereka oleh kerana cabaran dan peranan yang di galas cukup besar,” ujarnya.
Hadir sama pada mesyuarat berkenaan, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat. – MalaysiaGazette