Orang ramai diminta membuat saringan awal bagi langkah-langkah pencegahan.

KUALA LUMPUR – Kadar jangkitan Hepatitis B menunjukkan peningkatan dalam masa lima tahun kebelakangan ini iaitu daripada 12.94 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2014, kepada 14.52 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018.

Bagi Hepatitis C pula, dianggarkan sebanyak 3,000 kes jangkitan baharu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap tahun.

Pada tahun 2018, sebanyak 2,842 kes baru Hepatitis C telah dilaporkan dengan kadar notifikasi 8.77 bagi setiap 100,000 penduduk, kata Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, vaksin Hepatitis B adalah penting bagi memberi perlindungan daripada jangkitan penyakit Hepatitis B.
“Sejak tahun 1989, KKM memberikan imunisasi vaksin Hepatitis B sebanyak tiga dos kepada semua bayi di bawah Program Imunisasi Kebangsaan. Pemberian vaksin Hepatitis B dalam tempoh 24 jam selepas lahir adalah 95 peratus efektif dalam mencegah daripada jangkitan virus Hepatitis B dalam tempoh perinatal,” katanya sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia pada hari ini.

Menurut beliau, terdapat rawatan bagi penyakit Hepatitis B yang disediakan di fasiliti kesihatan manakala bagi jangkitan Hepatitis C, tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan.

Namun begitu pada amnya, ia boleh dirawat dan disembuhkan dengan pengambilan ubat Direct Acting Antiviral (DAAs).

Hepatitis adalah satu penyakit yang menyebabkan keradangan hati akibat jangkitan virus hepatitis A, B, C, D atau E.

Hepatitis A dan E biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar. Manakala jenis B, C dan D membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati.

Seseorang boleh dijangkiti Hepatitis B atau C apabila terdedah secara langsung dengan darah daripada seseorang yang dijangkiti menerusi luka, perkongsian jarum dan hubungan seks. Ia juga boleh menular daripada ibu kepada bayi ketika proses kelahiran.

KKM menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan mengelakkan diri daripada risiko jangkitan dengan tidak berkongsi alat kebersihan diri peribadi tertentu seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan lain-lain kerana ia boleh menyebabkan luka di mana virus boleh menular.

Pesakit Hepatitis juga dinasihatkan agar tidak menderma darah kerana ia boleh menyebabkan jangkitan kepada penerima darah.

Amalan hubungan seks secara selamat juga dapat mencegah daripada penularan jangkitan, katanya.

Bagi mereka yang terdedah kepada risiko jangkitan viral hepatitis adalah dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan viral hepatitis bagi mengesan jangkitan dan seterusnya diberikan rawatan awal.

Ibubapa dinasihatkan untuk memastikan anak mereka diberi imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan. – MalaysiaGazette