Lembaga Tabung Haji deposits TH menafikan dakwaan Dr. Asyraf
Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan sama ada Datuk Seri Mujahid Yusof faham atau tidak mengenai prestasi kewangan Lembaga Tabung Haji.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa prestasi dan kedudukan Tabung Haji separuh pertama tahun ini semakin baik.

Bagaimanapun, dakwa Najib, keuntungan bersih untuk suku kedua tahun 2019 turun kepada RM375 juta daripada RM440 juta pada suku pertama.

Bekas perdana menteri itu berkata, jumlah keuntungan bersih Tabung Haji untuk separuh pertama tahun 2019 hanya 49.8 peratus berbanding seluruh tahun 2018 dan 23.9 peratus daripada keuntungan tahun 2017.

Malah, pendapatan separuh pertama tahun 2019 yang berjumlah RM1.3 bilion hanya 30.9% berbanding seluruh tahun 2018.

Ia juga hanya 28.4 peratus daripada pendapatan seluruh tahun 2017.

“Nilai aset Tabung Haji juga telah jatuh RM2.5 bilion kepada RM74 bilion pada akhir bulan Jun 2019 berbanding RM76.5 bilion pada akhir tahun 2018.

“Bermaksud prestasi Tabung Haji masih lembap berbanding tahun 2018 di mana Hibah 1.25% iaitu paling rendah dalam sejarah diumumkan.

“Ia juga sangat lemah berbanding tahun 2017 di bawah BN di mana Hibah 6.25% diberi.

“Mujahid faham ke semua ini? Asyik kata baik tapi data tunjuk masih lembab,” ujarnya.

Mujahid membuat kenyataan demikian selepas Tabung Haji mengumumkan memperoleh pendapatan berjumlah RM1.3 bilion pada enam bulan pertama tahun ini.

Pendapatan itu dijana daripada pelaburan aset pendapatan tetap RM663 juta, pelaburan hartanah RM292 juta dan instrumen pasaran wang Islam RM199 juta.

Keuntungan bersih juga meningkat kepada RM815 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran. – MalaysiaGazette