Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal mempunyai isi tersirat dari aspek politik.

Menurut penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir, pendirian Azmin yang senada dengan UMNO dan Pas untuk terus memberi dukungan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ssehingga akhir penggal jelas bercanggah dengan persetujuan yang dimeterai oleh Pakatan Harapan pada pilihan raya yang lalu.

Pemerhati politik itu turut berpandangan bahawa dukungan ini turut membuktikan bahawa Azmin hanya yakin pada Tun M sahaja untuk mentadbir negara.

Tidak rugi jika pengundi di Parlimen Port Dickson memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 Oktober ini, kata penganalisis politik, Dr Jeniri Amir.
Dr Jeniri Amir

“Kenyataan Azmin itu mempunyai makna yang mendalam, supaya dukungan diberi terus kepada Tun M.

“Beliau (Azmin) mahu negara ini terus dipimpin Perdana Menteri sekarang walaupun hakikat bertentangan dengan janji PH sebelum PRU-14.

“Persoalannya adakah mereka tidak yakin bahawa Anwar atau siapa yang ambil alih selepas ni tidak mempunyai keupayaan mentadbir negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR hari ini menerusi kenyataan mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu dan UMNO akan memberikan dukungan penuh kepada Tun M sebagai Perdana Menteri.

Pendirian tersebut kata Azmin seiring dengan pandangannya bahawa kepimpinan Tun M diperlukan demi memastikan kegemilangan negara berjaya dikembalikan.

Kenyataan itu tambah Jeneri akan memberi impak besar dan tekanan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semakin lama Tun M berada di kerusi ini akan meletakkan Anwar dalam keadaan tertekan dan ketidakpastian teka teki dan masa depan beliau untuk jawatan itu semakin kabur dan menimbulkan kesangsian kepada para pendukungnya,” ujarnya. -MalaysiaGazette