DES MOINES, Amerika Syarikat – Juara Olimpik, Dalilah Muhammad mencatat rekod dunia baru acara 400 meter lari berpagar dengan catatan 52.20 saat dalam Kejohanan Padang dan Balapan Amerika Syarikat di Stadium Drakes, awal pagi tadi.
Dalilah, 29, yang meraih emas di Olimpik Rio de Janeiro mengatasi rekod 52.34 saat berusia 16 tahun milik atlet Russia, Yuliya Pechonkina yang dibuat pada 2003.
Larian cemerlangnya membolehkan dia tiba di garisan penamat mengatasi pemenang tempat kedua, Sydney McLaughlin di stadium yang basah akibat hujan.
“Saya sangat terkejut,” komen spontan Dalilah selepas menamatkan lariannya.
Sydney yang menewaskan Dalilah di Liga Berlian Oslo musim ini mencatat 52.88 saat manakala Ashley Spencer di tempat ketiga (53.11s).
Dalilah adalah atlet wanita pertama Amerika Syarikat yang menang emas di Olimpik Rio sebelum ini, bergelut dengan kecederaan selepas terseliuh ketika latihan dua minggu lalu.
Begitupun dia yakin mampu mengatasi rekod Pechonkina dan ia nyata menjadi kenyataan.
Catatan Dalilah itu melepasi ujian kelayakan atlet Amerika Syarikat itu, sekali gus layak ke Kejohanan Dunia di Doha, September ini. – MalaysiaGazette