Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) diiringi Ketua Pengarah Agensi Pengakutan Awam Darat, Azlan Shah Al Bakri (dua kiri) dan Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Ali (dua kanan) meneliti dokumen perjanjian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bantuan Dana Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan hari ini mengambil inisiatif melanjutkan kontrak bantuan dana pengusaha bas henti-henti (ISBSF) kepada dua tahun berbanding satu tahun sebelum ini.

Menurut menterinya, Anthony Loke Siew Fook, langkah itu bagi memastikan pengusaha bas henti-henti dalam menyediakan perkhidmatan berterusan kepada pengguna khususnya masyarakat luar bandar.

“Sejak tahun 2012, kerajaan akan menandatangani kontrak ataupun dokumen perjanjian dengan setiap pengendali untuk tempoh setahun bagi tujuan pembayaran.

“Setiap tahun juga pengendali akan tertunggu-tunggu untuk memperbaharui kontrak tersebut tanpa mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan program ini atau tidak.

“Maka pada tahun ini, buat pertama kalinya kerajaan telah menyediakan interaktif untuk tempoh dua tahun kepada pengendali,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian ISBSF di kementeriannya, hari ini.

MGF290719_MOU BANTUAN DANA SEMENTARA BAS HENTI-HENTI01
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bantuan Dana Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) di Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JULAI 2019

Sebanyak 52 pengusaha yang dikesan masih beroperasi di kawasan masing-masing telah menandatangani perjanjian tersebut.

“Bagi tahun 2019 dan 2020, keraajan menyediakan anggaran peruntukan sebanyak RM220 juta bagi tujuan itu.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM19 juta berbanding perbelanjaan untuk tahun lalu pada jumlah RM91 juta,” katanya lagi.

Dengan pelaksanaan itu, kesemua pengendali bas henti-henti boleh membuat tuntutan bayaran lewat pada Januari sehinga Jun lalu kepada kementerian dan bayaran akan dibuat pada pertengahan Ogos nanti.

Kata Anthony, segala tuntutan akan dibuat secepat mungkin bagi melicinkan operasi perkhidmatan bas henti-henti di masa akan datang.

Tambah beliau lagi, kerajaan tidak merancang untuk menghentikan dana ini di masa akan datang kerana ia merupakan komitmen jangka panjang kerajaan.

Katanya lagi, tidak ada satu negara pun yang boleh menjalankan perkhidmatan bas awam tanpa subsidi daripada kerajaan.

“Semua negara ada beri subsidi kepada pengendali bas awam kerana kadar bayaran itu kita boleh awal dan tidak boleh terlalu mahal.

“Apabila dikawal, kos minyak dan perkhidmatan baik pulih akan terus meningkat itu sebab perlu ada elemen sibsidi daripada kerajaan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.