KUALA LUMPUR – Sebuah kedai emas di pasar raya di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini kerugian kira-kira RM700,000 selepas dirompak empat lelaki malam tadi.

Ketika kejadian, tiga pekerja dan enam pelanggan termasuk seorang kanak-kanak berada di premis itu sebelum didatangi empat lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan tukul besi dan objek menyerupai pistol.

“Seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas gagal berbuat apa-apa kerana diacu objek menyerupai pistol oleh suspek,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.44 malam.

Mohd Sabri berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian yang berlaku dalam tempoh lima minit itu melibatkan empat suspek termasuk seorang yang berkawal di luar.

“Semua suspek dilihat menggunakan laluan pintu utama untuk masuk dan keluar dari pasar raya tersebut,” katanya sambil menambah semua pekerja dan pelanggan berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-2714100. – MalaysiaGazette