Dr. Aini Ideris berucap dalam majlis pembukaan mewakili Institusi Pengajian Tinggi Malaysia yang mengambil bahagian dalam CAECW..jpg

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) akan memastikan terdapat aktiviti pertukaran pelajar, penyelidikan bersama antara univerisiti negara ini dan China.

Usaha itu bertujuan untuk menggalakkan penyertaan pelajar-pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian di Insititut Pendidikan Tinggi di Malaysia.

Kementerian Pendidikan berkata, ia antara perkara yang dibincangkan dalam program Minggu Kerjasama Pendidikan China- ASEAN Ke-12 (CAECW) yang telah berlangsung di Guiyang, Guizhou, China pada 22 Julai hingga 23 Julai lalu.

“Dalam program itu diluahkan hasrat untuk mewujudkan sebuah pusat kebudayaan Malaysia di Universiti Guizhou Minzu yang mana ia secara langsung dapat menyediakan maklumat berkaitan kebudayaan dan perkembangan Malaysia kepada masyarakat Guizhou,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Delegasi Malaysia yang terdiri daripada 46 pegawai dengan diketuai Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Tinggi Profesor Dr. Rahmah Ahmad H.Osman mengambil bahagian dalam program minggu kerjasama pendidikan China-ASEAN itu.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datin Paduka Dr. Aini Ideris, Timbalan-Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Univerisiti Malaysia Kelantan(UMK), Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Naib Presiden Universiti Multimedia, Pengurus Kanan Pejabat Perhubungan Global UCSI, Pengarah Bahagian Komuniti dan Jaringan Antarabangsa Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Pendaftar Universiti Teknologi Petronas.

Penyertaan itu bertujuan meraikan hubungan diplomatik Malaysia dan China yang memasuki tahun Ke-45.

Pada majlis sama, Dr. Aini meluahkan hasrat Malaysia menjadi Hab Pendidikan Antarabangsa di samping menyatakan komitmen mempromosikan pertukaran bahasa, selain menggalakkan mobiliti pelajar dan pegawai serta saling bertukar budaya.

“Beliau juga menzahirkan minat Malaysia terhadap Data Raya Revolusi Industri 4.0 yang sememangnya bidang yang menjadi keutamaan di wilayah Guizhou.

“Selain itu pendidikan tinggi turut dipromosikan dengan menyatakan negara ini mempunyai kualiti yang tinggi, kos yang mampu, budaya yang mesra,bahasa Inggeris sebagai penghubung pengantarabangsaan serta kualiti hidup yang tinggi yang disediakan di Malaysia,” ujar kementerian.

Dalam perkembangan sama, jawatankuasa CAECW memilih beberapa program untuk dilaksanakan teramasuk Projek Malaysia Pavilion bersama MMU, UIAM (Projek Built Environment Summer Camp) dan UiTM (Projek Multiple Intelligences Preschool Chilhood Educator).

Program CAECW kali ini menyaksikan 11 universiti China dan 9 tempatan mengadakan perbincangan meja bulat Presiden China-Malaysia.

Meja bulat itu menjadi platform terbaik bagi kedua-dua negara mengenali dan memahami IPT Malaysia-China dan membuka ruang kerjasama baharu.

Sebanyak 23 surat hasrat dan tiga dokumen kerjasama pendidikan telah dipersetujui dan ditandatangani kedua dua pihak.

“Profesor Dr. Rahmah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Pertukaran dan Kerjasama Antarabangsa Kementerian Pendidikan China, Li Xudong dan Pengarah Urusan CAECW, Wang Rui.

“Dalam perjumpaan itu pendidikan Malaysia dipromosikan secara menyeluruh dan meyakinkan China bahawa sektor pendidikan Malaysia adalah berkualiti tertinggi dengan terdapatnya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Penyertaan syarikat gergasi China seperti Alibaba untuk bekerjasama secara strategik dalam menawarkan latihan dan kepakaran industri kepada pelajar Malaysia,” kata kementerian itu.- MalaysiaGazette