KUALA LUMPUR – Pelakon Zizie Ezette menafikan dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ibu seperti didakwa segelintir pihak dan terlalu bergantung kepada pengasuh bagi soal penjagaan anak.
Sebaliknya kata Zizie, tugasnya bukan sekadar melahirkan anak tetapi menganggap sebagai satu amanah besar dikurniakan Allah padanya yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
“Silap sama sekali andaian mereka itu kepada saya. Bukan seperti yang anda fikir, hanya beranak tapi lain-lain pengasuh buat. Adoiyai, jauh sama sekali pandangan orang tu.
“Tugas saya sebagai ibu adalah lebih besar kerana mereka adalah amanah Allah buat saya sebagai seorang ibu,” katanya melalui perkongsian di Instagram miliknya.
Zizie, 40, kini memiliki lima anak termasuk dua anak angkat dan setiap mereka memiliki pengasuh masing-masung.
Tambah pelakon filem Kekasih Awal dan Akhir itu, walaupun menggunakan khidmat pengasuh, dia sentiasa memberi sepenuh perhatian malah mengambil tahu perkara dilakukan anak-anak pada setiap masa.
“Mungkin bukan kerja saya yang mencuci pakaian anak-anak, merapikan tempat tidur mereka dan tugas membersihkan juga bukan tugas saya.
“Tetapi saya mengambil tahu semua perkara dari A to Z berkenaan anak-anak.
“Saya sentiasa bersama anak dan berikan sepenuh perhatian dan pupuk kasih sayang secukupnya pada mereka,” katanya.
Zizie mendirikan rumah tangga dengan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin pada Disember 2009.
Dia dan pasangannya dikurniakan kembar lelaki berusia hampir dua tahun, Aadam Zac Izette dan Aaleph Zeke Izette serta seorang anak perempuan, Aalisa Belle Izette, lima bulan.
Pasangan itu turut memelihara dua anak angkat iaitu Nayla Nurjenna, 3 dan Aaric Zayn Izette, setahun.
Kakak kepada pelakon Shaheizy Sam itu juga memberitahu dia sebenarnya tetap bersyukur kerana meskipun menggunakan khidmat pengasuh, kesemua anaknya menjalin hubungan yang rapat dengannya.
“Alhamdulillah, anak paling rapat dengan saya walaupun ada yang berpendapat bila mereka ada pengasuh, mereka akan lebih rapat dengan pengasuh.
“Ada juga yang berpendapat, anak-anak akan ingat pengasuhlah ibu mereka, silap sama sekali andaian mereka pada saya,” katanya. – MalaysiaGazette