Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang membantah tulisan Jawi tidak layak mendapat taraf kewarganegaraan, bahkan perlu dihantar balik ke negara asal mereka, tegas Naib Presiden Parti Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan, bantahan itu bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Inilah masalahnya apabila kaum pendatang yang diberikan kewarganegaraan Tanah Melayu secara mudah oleh kerajaan terdahulu telah menunjukkan sikap biadab dan menghina Bahasa Melayu.

“Sedangkan syarat asas pengetahuan Bahasa Melayu adalah prasyarat utama untuk pemberian kewarganegaraan berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) semalam, yang membantah keputusan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan penggunaan tulisan Jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah.

Dong Zong dan Jiao Zong menegaskan seni khat dan tulisan Jawi yang akan dimasukkan sebagai sebahagian sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun depan adalah tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Kumpulan itu malah mendakwa sudah menggerakkan beberapa kumpulan lain termasuk mewakili Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk membantah keputusan berkenaan.

Menurut Mohd Khairul Azam, tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat ia tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi bahasa kebangsaan.

Beliau menghujahkan bahawa ada kaitan amat rapat antara tulisan Jawi dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut undang-undang, dan sebarang bantahan terhadap dasar kerajaan ini adalah satu pengkhianatan terhadap negara.

Oleh itu, tegasnya, Putra menyokong dasar Kementerian Pendidikan untuk mewajibkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJKT) serta mendesak kementerian tidak berganjak dari melakukan sesuatu yang selaras dengan undang-undang.

Bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan yang sewajarnya dijadikan mata pelajaran utama setiap sekolah aliran kebangsaan.

“Bantahan Dong Zhong ini juga membuktikan sekolah vernakular adalah pusat indoktrinisasi perkauman sempit yang menyekat apa jua elemen perpaduan dari berkembang dalam sistem chauvinisma mereka.

“Asas ini mencukupi untuk rakyat mendesak agar sekolah vernakular ini diharamkan terus dari sistem Pendidikan Kebangsaan,” katanya. – MalaysiaGazette