KEPALA BATAS – Polis hari ini menafikan satu rakaman suara yang tular melalui aplikasi WhatsApp sejak semalam yang mendakwa berlaku kes penculikan kanak-kanak di Bertam Perdana di sini.

Ketua Polis Daerah Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan lanjut berhubung rakaman suara yang mendakwa beberapa penculik menggunakan sebuah kereta jenis Nissan Sunny itu adalah palsu.

“Polis telah menahan dua wanita yang menggunakan kereta Nissan Sunny seperti mana yang ditularkan itu namun soal siasat mendapati mereka tiada kaitan dengan kes penculikan,” katanya di sini.

Menerusi rakaman suara wanita yang tular itu, wanita berkenaan mendakwa sebuah kereta Nissan Sunny berwarna putih dipandu seorang lelaki dilihat berlegar-legar di kawasan rumahnya ketika dia pulang sebelum dia pergi ke balai polis bagi membuat laporan.

Dalam rakaman suara selama satu minit 38 saat itu, wanita berkenaan turut mendakwa telah diberitahu pihak polis bahawa satu kes penculikan kanak-kanak telah berlaku di kawasan perumahannya di Bertam Putra minggu lepas.

Sementara itu, Noorzainy berkata, dakwaan itu adalah tidak benar dan tiada sebarang insiden penculikan pada tarikh dan masa seperti yang ditularkan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pihak yang merakam dan menyebarkan rakaman suara berkenaan kerana ia menimbulkan kegusaran di kalangan orang ramai.

“Saya minta orang awam agar jangan mudah terpengaruh dengan isu-isu tular yang masih belum pasti kesahihannya. Hubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di talian 04-5762222 untuk mendapatkan pengesahan,” katanya. – MalaysiaGazette