Gambar hiasan

IPOH- Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain dalam usaha memastikan pelajar sekolah tidak menggunakan rokok elektronik atau vape.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, Kementerian Kesihatan telah dimaklumkan dan mengarahkan semua guru untuk merampas sebarang produk berkaitan vape yang ditemui di kawasan sekolah.

Selain itu, para pemain industri pula digalakkan untuk mengambil langkah sukarela supaya menghentikan pengeluaran dan penjualan vape yang kelihatan seperti jam tangan daripada pasaran.

“Produk-produk vape amat canggih dan terdapat produk tersebut yang dibuat dalam bentuk pen atau jam.

“Ibu bapa dan guru mesti sentiasa berjaga-jaga kerana anak anda mungkin mengatakan itu hanyalah seutas jam tangan tetapi sebenarnya adalah vape.

“Jadi apabila pengeluar mendapati produk tersebut tidak lagi berada di pasaran, itu bukan kerana ia telah mendapat permintaan yang tinggi tetapi ia dikeluarkan daripada pasaran secara sukarela,” katanya.

Vape yang mula popular sejak beberapa tahun lalu sebagai pengganti rokok konvensional telah menular ke peringkat sekolah rendah.

Malah, murid yang masih berpakaian sekolah tidak segan silu menghisap vape di khalayak ramai sehingga membimbangkan pelbagai pihak.-MalaysiaGazette