Jenazah mangsa akan dikebumikan di kampungnya di Thailand.
Jenazah mangsa akan dikebumikan di kampungnya di Thailand.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Thailand maut setelah terjatuh dalam mesin pembersih bijih besi di kawasan lombong Kampung 5, di Gua Musang, Kelantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, mayat Roheemee Da-oh, 48, ditemui dalam keadaan perut terburai pada jam 1.15 tengah hari.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai operator mesin palong bijih itu sedang melakukan kerja pemeriksaan di kawasan palong terbabit apabila kakinya tergelincir lalu terjatuh ke dalam palong.

Katanya, ketika itu mesin pembersih bijih besi sedang beroperasi menyebabkan badannya turut dikisar bersama-sama bijih.

“Kejadian itu disaksikan seorang lagi pekerja di situ lalu bertindak segera menutup suis untuk memberhentikan mesin palong terbabit,” katanya.

Mohd Taufik berkata, ketika kejadian mangsa masih bernyawa sebelum meninggal dunia sejurus dikeluarkan.

Katanya, mangsa yang berasal dari Narathiwat, Thailand bekerja di lombong bijih itu sejak lapan bulan lepas sebagai operator dan bertanggungjawab mengendali tugasan menjaga mesin serta palong.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum dituntut isterinya untuk dikebumikan di Thailand,” katanya.

Kes kematian mangsa yang ditemui di dalam mesin palong bijih besi itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast