Dong Zong

KUALA LUMPUR – Dong Zong dan Jiao Zong menyatakan tiada perhimpunan diadakan bagi membantah penambahan subjek seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sebaliknya, hanya satu mesyuarat dalaman yang akan diadakan bersama beberapa pertubuhan pelbagai kaum pada Isnin ini bagi  membincangkan perkara tersebut.

Menurut kenyataan bersama Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), mesyuarat itu akan memberi tumpuan mengupas dan menganalisis tentang inisiatif Kementerianan Pendidikan.

Katanya, ia akan dilakukan melalui aspek-aspek pedagogi pedidikan, keberkesanan pembelajaran dan juga realiti serta fungsipragmatik seni khat Jawi dalam peningkatan tahap penguasaan dan pengetahuan bahasa Melayu.

“Di samping itu, mesyuarat dalaman ini akan juga membincang dan meneliti siaran akhbar Kementerian Pendidikan semalam,” kata kenyataan itu.

Kenyatan itu dikeluarkan berikutan laporan akhbar Sin Chew Daily dan Utusan Malaysia yang menyatakan Dong Jiao Zong dan pertubuhan berkaitan akan mengadakan perhimpunan pada Isnin ini untuk membantah penambahan Seni Khat dalam pelajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan.

Menurut portal mysinchew.com.my, himpunan itu akan diadakan di Ibu pejabat Dong Jiao Zong di Jalan Bukit, Kajang.

Himpunan itu akan dihadiri lebih 10 organisasi pendidikan Cina dan Tamil di negara ini, kata portal itu.

Kenyataan bersama itu berkata, mesyuarat dalaman itu juga akan membincang usaha Kementerian Pendidikan yang ingin meningkatkan keupayaan penghayatan seni khat Jawi.

Pendirian Dong Jiao Zong tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan interaksi kebudayaan antara pelbagai kaum, mempromosi nilai-nilai murni kepelbagaian dan integrasi, katanya

“Namun bukanlah melalui kaedah yang menyebabkan kesangsian, was-was dan kurang menyenangkan, malah tanpa berbincang dan diskusi secara detail dengan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan pendidikan dan masyarakat majmuk,” tambahnya.

Menurut kenyataan itu,  Dong Jiao Zong risau akan berita yang tidak bertanggungjawab akan menyebabkan salah-faham dan reaksi negatif yang tidak diingini tercetus.

“Pihak kami ingin menegaskan bahawa mesyuarat yang akan diadakan merupakan mesyuarat dalaman yang hanya dihadiri oleh beberapa pertubuhan pelbagai kaum yang diundang sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette