KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy semakin ‘hilang sabar’ dengan kerenah dan kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai semakin lantang melahirkan keraguan tentang bagaimana Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) di bawah Waytha berfungsi mengikut objektif kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mitra yang sebelum ini dikenali dengan nama Sedic oleh kerajaan terdahulu kemudian dijenamakan semula mempunyai objektif untuk memperbaiki kehidupan masyarakat India khasnya golongan berkepentingan seperti B40 itu disifatkan tidak ‘telus’.

Bagaimanapun pemimpin kerajaan yang suatu ketika dahulu merupakan pembangkang pernah menggunakan isu peruntukan Sedic dan lantang mengkritik cara wang diperuntukkan serta dibelanjakan.

Kini Ramasamy menyifatkan tidak ada bezanya antara Sedic dan kini Mitra kerana peruntukan RM100 juta itu tidak tercapai objektifnya.

“Mitra dan Sedic tidak berbeza langsung, yang berubah adalah personaliti dan penjenamaan semula sahaja.

“Saya sebenarnya ragu-ragu sekarang bagaimana baki peruntukan sebanyak RM68.5 juta akan diagihkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Ramai daripada kita sebenarnya tidak mempunyai keyakinan dan kepercayaan dengan Waytha Moorthy mahupun Mitra ini, sebenarnya satu jawatankuasa baharu dengan wakil terpilih perlu ditubuhkan bagi membuat keputusan tentang dana penting untuk komuniti ini,” katanya.

MGF2204019_TUN M JAKOA43
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy,

Ramasamy juga mengkritik perjumpaan wakil rakyat dengan pasukan Mitra dan Waytha bagi mengenalpasti kumpulan sasaran yang memerlukan peruntukan itu di kawasan-kawasan mereka.

“Perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen ini tidak sepatutnya hanya sekadar untuk menyimpang atau ‘eye wash’ sahaja.

“Saya minta kepada wakil-wakil rakyat yang hadir ke perjumpaan dengan Wayta ini supaya memberi peringatan bagaimana dana ini perlu sampai ke golongan sasaran seperti yang telah di uar-uarkan sebelum ini,” katanya.

Walaupun sebelum ini Waytha telah memberitahu Ramasamy untuk menghubunginya jika terdapat keraguan dan tidak melakukannya dalam media mahupun laman sosial, pemimpin DAP itu tetap tidak berganjak daripada terus mengkritik.

Ramasamy yang merupakan pemimpin DAP terus mengkritik Waytha kerana tidak hadir mesyuarat Majlis Wakil Rakyat India Pakatan Harapan (EIRCPH) bagi memberi penjelasan berhubung peruntukan tersebut.

Sebelum ini, sudah ada segelintir pihak yang tampil menyoal tentang ketelusan cara dana itu dibelanjakan malah ada penerima-penerima yang menerima dana ratusan ribu ringgit walaupun baru sahaja menubuhkan syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan.

Namun Waytha tetap mengatakan pihaknya sangat telus dan jauh lebih baik daripada kerajaan terdahulu.

Malah setiap sen yang dibelanjakan itu bukan sahaja mencapai sasaran, sebaliknya setiap perbelanjaan ada dipaparkan dalam laman web kementerian. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/27/waytha-ramasamy-bertelagah-soal-peruntukan-rm100-juta/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/29/waytha-apa-justifikasi-beri-dana-rm700000-kepada-syarikat-baru/