Wong Tack

KUALA LUMPUR – Wong Tack menyifatkan cadangan Lynas Malaysia untuk menjadikan bekas lombong untuk dijadikan pelupusan bahan-bahan sisa radioaktif umpama membunuh mangsa rogol.

Malah, Ahli Parlimen Bentong itu berkata, di sebalik memulihkan tanah itu, ia akan merosakkan untuk selama-lamanya.

Sehubungan itu, Wong yang kuat memperjuangkan penutupan kilang Lynas merayu kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak membenarkan cadangan menggunakan bekas lombong dijadikan pusat pelupusan sisa bahan dari Lynas.

Kenyataan itu dibuat selepas Pengarah Urusan Lynas, Mashal Ahmad mencadangkan bekas-bekas lombong yang tidak digunakan di negeri itu dijadikan pusat penyimpanan sisa penulenan air terlarut (WLP).

“Sudah sampai masanya kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat. Sudah tiba masanya untuk kita memenuhi janji melindungi kesejahteraan rakyat dan persekitaran kita.

“Hentikan penjanaan sisa radioaktif di atas tanah kita, gantung lesen Lynas dengan segera dan kemudian tangani bahan sisa itu!,” tambahnya.

Wong berkata, jumlah sisa-sisa radioaktif toksik Lynas meningkat hari demi hari dan setakat 18 Mei 2019, terdapat 580,362 metrik berbanding dengan 451,564 tan metrik seperti yang diumumkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 4 Disember 2019. – MalaysiaGazette