Kamarudin Meranun

KUALA LUMPUR – Pengasas bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu kini tidak mempunyai pilihan untuk mengutip caj baharu kepada penumpang tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia menjelaskan, walaupun syarikat itu telah merayu di mahkamah, penumpang terpaksa membayar harga tiket lebih mahal selepas ini.

“Walaupun kita melakukan protes dan tahu ia membebankan penumpang kita, kita tidak mempunyai pilihan. Itulah bagaimana monopoli seperti MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad) berfungsi.

“Tragedi ini mungkin menyebabkan kita kehilangan kedudukan sebagai hab tambang rendah. Dan ia akan menjadi kerugian kepada negara dan industri perhotelan kami. Inilah MAHB,” tulisnya di laman Facebook miliknya.

Kamarudin menambah, selama 18 tahun yang lalu, Kumpulan AirAsia telah berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar penerbangan tambang murah di Asia selain memenangi syarikat penerbangan tambah murah terbaik dunia anjuran Skytrax selama 11 tahun berturut-turut.

Namun luahnya kecewa, pengendali tunggal lapangan terbang di Malaysia iaitu MAHB telah menaikkan caj per­khidmatan penumpang (PSC) tahun lalu dari RM50 kepada RM73 .

“Tetapi kami enggan mengutip jumlah tambahan daripada penumpang kami dan didakwa oleh MAHB. Bulan lalu, mereka mendapat penghakiman ringkas terhadap kami dan semasa kami merayu, kami masih perlu membayar wang yang tidak pernah kami kutip daripada penumpang kami,” katanya.

Pada 19 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan AirAsia membayar (PSC) yang belum dibayar sebanyak RM40.73 juta selepas syarikat penerbangan itu enggan mengutipnya selama enam bulan pada tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, MAHB berkata AirAsia juga perlu membayar RM792,381 bagi caj pembayaran lewat (LPC) belum dibayar kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), anak syarikat milik penuh MAHB.

“Mahkamah memberikan ringkasan penghakiman yang berpihak kepada MA Sepang dalam ketiga-tiga saman sivil difailkan terhadap AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd.

“Perintah selanjutnya dalam ringkasan penghakiman itu termasuk perisytiharan bagi AirAsia membayar MA Sepang kadar PSC yang telah diwartakan,” katanya.

Dilaporkan AirAsia juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM24,000 untuk tiga saman itu. – MalaysiaGazette