KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan menganjurkan Minggu Keusahawanan Nasional (MUN) 2019 pada 29 Ogos hingga 1 September ini.

MUN adalah aktiviti susulan selepas pelancaran Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN) yang telah disempurnakan  oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai lalu.

Acara yang akan diadakan diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Selangor akan mengumpulkan para usahawan daripada pelbagai bidang di atas satu platform jaringan yang membolehkan para usahawan menambah ilmu, kemahiran dan menerokai peluang baru dalam perniagaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, MUN2019 akan mendedahkan rakyat kepada produk-produk dan aktiviti pembangunan keusahawanan di seluruh negara, selain daripada acara sampingan yang menarik dan membuka minda.

Menurut beliau, MUN 2019 merupakan inisiatif MED untuk mengintegrasikan pelbagai aktiviti/program keusahawanan merentasi kementerian/agensi serta pihak swasta dalam satu platform atau ekosistem yang menyeluruh.

Di samping itu, penganjuran MUN 2019 ini juga akan bertindak sebagai pemangkin serta roadmap ke arah mencapai Negara Keusahawanan Unggul 2030.

“Secara idealnya juga, penganjuran MUN 2019 menyokong peranan utama MED dalam memacu pembangunan keusahawanan negara.

“Selain itu, MUN 2019 bertindak sebagai program utama berorientasikan keusahawanan di peringkat nasional yang diselaraskan oleh MED melalui kerjasama semua pihak berkepentingan, katanya.

MGF110719_DASAR KEUSAHAWANAN NASIONAL14
Mohd Redzuan Yusof

MUN 2019 turut bertindak sebagai platform penganjuran pelbagai program dan aktiviti berteraskan keusahawanan yang merangkumi aktiviti seperti pameran dan jualan produk, padanan perniagaan, sesi interaktif pocket talk, seminar perniagaan, khidmat runding dan nasihat secara langsung kepada usahawan dan jualan barangan asas.

Tumpuan utama penganjuran MUN 2019 ini adalah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional yang akan memberi fokus kepada usahawan berkenaan dari seluruh negara, merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inovasi, inap desa, kraftangan dan kesihatan serta penjagaan diri.

Selain itu, penganjuran Konvensyen Usahawan Wanita sempena MUN 2019 ini secara langsung mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan keusahawan secara keseluruhan melalui pengisian aktiviti dan program yang bersesuaian.

Terdapat juga program lain seperti INSKEN Outreach, Jualan Harga Patut, pelbagai siri Pocket Talk oleh agensi di bawah MED seperti SME Bank dan IKM, pameran berasaskan enam teras strategik DKN 2030, Malaysia Kitchen dan Rakyat Run yang diadakan secara khusus dalam penganjuran MUN 2019

Objektif-objektif utama yang ingin dicapai di bawah penganjuran MUN 2019 adalah:

  1. Medium hebahan mengenai inisiatif kementerian selepas pelancaran DKN 2030;
  2. Pengkomersialan dan pembangunan industri keusahawanan sedia ada
  3. Menampilkan pameran, kebudayaan, juadah serta produk-produk identiti usahawan Malaysia.
  4. Meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif;
  5. Mempertingkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi; dan
  6. Menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan

Matlamat spesifik yang akan dicapai melalui pelaksanaan MUN adalah roadmap ke arah mencapai Negara Keusahawanan Unggul 2030 dan pembudayaan pemikiran keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia;

Seterusnya, Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 pula bertindak sebagai penanda aras dalam pelaksanaan program merentasi penganjuran pelbagai aktiviti yang berorientasikan keusahawanan oleh kementerian/agensi atau sektor swasta, tambah beliau.

Sinergi kerjasama ini merupakan simbolik kolaborasi strategik kementerian bersama semua pihak berkepentingan dalam membangunkan ekosistem keusahawanan secara menyeluruh.

Kumpulan sasar MUN 2019 memberi fokus kepada beberapa kumpulan khusus yang merangkumi pelbagai latar belakang. antaranya penyertaan usahawan dan vendor tempatan, syarikat milik kerajaan (GLC), kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi kewangan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, golongan belia dan B40. – MalaysiaGazette