KUALA LUMPUR – Sejak akhir-akhir ini, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy begitu lantang membicarakan isu-isu yang menyelubungi kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
Antaranya, bagaimana umum khasnya masyarakat India termasuk pemimpin PH seolah-olah sudaaah hilang keyakinan malah sudah tidak yakin dengan kebolehan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menerajui Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) yang sebelum ini dikenali sebagai SEDIC.
Persoalan bagaimana dana sebanyak RM100 juta untuk komuniti India yang kini sudah mula dibelanjakan secara ‘suka hati’ itu meragukan ramai pihak termasuk Ramasamy sendiri.
Terbaru, Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai melontarkan persoalan mengapa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik begitu teruja menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus memegang jawatan sehingga habis penggal.
Kata Ramasamy dalam tulisan di laman Facebook, sebenarnya sokongan itu menjadi ‘teka teki’ kepada diriya mengapa Maszlee mahu Dr. Mahathir terus memegang jawatan itu sehingga semua reformasi yang dijanjikan tertunai.
Tanya Ramasamy lagi, adakah Maszlee ‘takut’ seandainya berlakunya peralihan kuasa, berkemungkinan Perdana Menteri ke-8, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengekalkan beliau dalam Kabinet.
“Mengapa secara tiba-tiba ada pihak yang begitu teruja untuk terus Tun Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal sebenarnya? Persoalan ini sebenarnya terus bermain dalam fikiran saya.
“Kata Maszlee Tun Matahir perlu kekal sehingga akhir penggal bagi menyelesaikan semua reformasi yang belum selesai lagi pada masa ini.
“Kata-kata Maszlee ini umpama teki teki yang terus menjadi persoalan buat saya sebenarnya. Adakah kerana ada cakap-cakap bahawa seandainya Anwar ambil alih melalui peralihan kuasa ini daripada Tun Mahathir, maka jawatan kabinet Maszlee tidak dikekalkan?,” soalnya.
Ramasamy menambah, isu mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi golongan penuntut muda masih lagi berada pada takuk sama.
Malah kata pemimpin DAP itu, hakikatnya perlu ada pembaharuan yang besar serta nyata dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti yang sebenarnya memerlukan lebih perhatian.
Katanya, para pelajar perlu dibimbing dengan kemahiran tinggi dari awal lagi namun beliau tidak nampak peranan yang dimainkan oleh Maszlee setakat ini.
“Apakah sebenarnya keperluan pengenalan mata pelajaran khat di sekolah rendah pada masa ini?
“Adakah ini akan mengubah orientasi sekolah dan menyediakan pelajar menghadapi cabaran teknologi untuk masa depan? Atau adakah ianya tidak lebih daripada polisi yang tidak difikirkan secara mendalam sebaliknya sekadar ada agenda segelintir pihak?,” katanya. –MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/01/polemik-tulisan-jawi-menular/