Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Penentangan DAP terhadap pengenalan mata pelajaran khat dalam bahasa Melayu kepada murid-murid Tahun 4 merupakan bangkangan membabi buta tanpa ada sebab-sebab konkrit.

Bantahan tersebut juga dilihat sebagai satu rancangan licik dengan menggunakan isu-isu orang Melayu untuk melemahkan bangsa itu.

Sedangkan, jika difikirkan secara logik dan positif, pengenalan khat sebenarnya membolehkan bangsa-bangsa lain mendalami kaum Melayu.

Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, beliau tidak nampak pengenalan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu perkara yang membebankan mana-mana parti politik.

Ini kerana, Kementerian Pendidikan hanya memperkenalkan tulisan lain, selain tulisan rumi.

Terangnya, bahasa Melayu mempunyai dua sistem tulisan iaitu rumi dan jawi. Rumi adalah skrip biasa yang diguna pakai sekarang manakala jawi adalah skrip warisan yang semakin dilupakan termasuk oleh orang Melayu.

Lantaran itu, katanya, pengenalan khat sewajarnya dilihat sebagai serampang dua mata kerana tulisan itu akan diajar pada simpulan bahasa subjek bahasa Melayu – yang juga merupakan ungkapan warisan.

Penulisan khat dalam pembelajaran simpulan bahasa dipilih kerana ia memiliki aspek-aspek persuratan Melayu.

“Jadi apa masalahnya hendak dibantah, ditentang dan dibangkang?

“Mereka yang membantah itu tahu atau tidak bahawa bahasa Melayu satu-satunya bahasa di dunia ini yang mempunyai dua sistem tulisan? Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa pun satu tulisan sahaja. Tulisan Cina pun hanya menggunakan simbol sahaja.

“Sepatutnya, sebagai rakyat Malaysia berasa bangga tetapi ditentang pula,” kata Kok Seong yang pelik dengan penentangan DAP.

Beliau yang turut menguasai huruf-huruf jawi menyifatkan pembelajaran khat tidak akan membuatkan sesuatu bangsa ketinggalan kerana penulisan itu juga suatu ilmu.

Bahkan, Kok Seong tidak nampak pengenalan pembelajaran tulisan khat merupakan satu cara halus untuk memelayu atau mengislamkan kaum Cina atau India.

Tetapi kefahaman itu sengaja diperbesar-besarkan oleh DAP kerana parti itu memperjuangkan identiti saksama – Malaysia Malaysian dan bukan Melayu Muslim seperti yang pegang dalam kontrak sosial.

“Pada saya penentangan ini merupakan satu manifestasi perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah berlaku defisit kepercayaan, masing-masing tidak percaya antara satu sama lain. Bukan Melayu tidak percaya orang Melayu, begitu juga sebaliknya. Jadi apa sahaja yang dilakukan akan dilihat negatif.

“Dulu saya amat bimbang perkara ini akan berlaku, sekarang sudah nyata berlaku sehingga perkara murni yang hendak dibuat tidak lagi dipercayai. Perpecahan dalam kalangan bangsa di Malaysia berlaku dalam keadaan amat dahsyat.

“Negara akan hancur jika kita sebagai rakyat tidak berkongsi hala tuju, aspirasi yang sama,” ujarnya.

Beliau berkata, berbanding pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu, keadaan di bawah Pakatan Harapan (PH) lebih sukar kerana gabungan kerajaan semasa adalah liberal, mengamalkan reformasi, kebebasan bercakap yang membawa kepada bebas mencadang dan bebas mengkritik walaupun akan menyebabkan huru-hara.

Sedangkan BN pula lebih konservatif dan berhati-hati dengan tidak bercakap perkara sensitif secara terbuka, lantaran itu ‘rentak’ tidak teruk seperti sekarang.

“Semasa BN kita dapat melihat betapa UMNO mampu mengawal MCA dan MIC. MCA dan MIC dulu tidak lantang di luar kerana mereka menghormati kontrak sosial.

“Tetapi, dalam gabungan PH semua adalah saksama tak ada yang boleh kawal parti lain. jadi mereka bebas menentang sebab status sama. Tapi bila kita tengok PH, sesama parti pun lantang dan nampak sangat liberal dan kebebasan disalah guna.

“Inilah masalahnya, leopard never changes its spots.

“Amalan liberal dan keterbukaan tanpa sempadan ini juga menyebabkan keadaan bertambah teruk kerana pada dasarnya rakyat Malaysia belum bersedia dan akibatnya negatif yang kita dapat,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai penentangan itu, Kok Seong berkata, orang Melayu telah melangsaikan bahagian mereka dalam kontrak sosial dengan membenarnya penggunaan bahasa Cina, sekolah Cina digunakan dalam pendidikan vernakular, berbanding negara-negara di Asia Tenggara yang lain.

Di Indonesia, Singapura dan Filipina tidak ada sekolah-sekolah tertentu seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita sama sekali jangan lupa tentang kontrak sosial yang dipersetujui semasa kemerdekaan dahulu.

“Kalau orang Melayu boleh melangsaikan tanggungjawab mereka dalam kontrak sosial dengan membenarkan pemberian kerakyatan kepada bukan Melayu, maka bukan Melayu kenalah terima Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menghormati sistem beraja.

“Bukan Melayu hendaklah menghormati dan menerima simbol dan proses budaya Melayu yang diangkat sebagai identiti negara. Ia termasuklah bahasa dan khat itu,” tambahnya.

Kok Seong juga menyifatkan Kementerian Pendidikan tidak perlu mempertimbangkan pengenalan kaligrafi lain untuk mengambil hati mana-mana pihak yang menentang pengenalan tulisan khat.

Ini kerana, cadangan penulisan khat itu perlu diterima secara ikhlas tanpa syarat, tidak perlu ada timbal balas dan juga bukan ada udang di sebalik batu.

“Keputusan (khat) adalah atas pertimbangan pendidikan, bukan ada justifikasi lain. Jadi jangan pisah-pisah anak bangsa semata-mata disebabkan politik. Jahanam pembinaan negara bangsa,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast