Dr Ahmad Murad Merican

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) yang menentang pelaksanaan penulisan khat yang akan diperkenalkan pada mata pelajaran bahasa Melayu murid-murid Tahun 4 pada tahun depan adalah dalam kalangan buta budaya nasional.

Jika itu berlaku, Profesor Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Prof. Datuk Dr Ahmad Murad Merican secara sinikal berkata, maka orang Melayu tidak lagi boleh mengharapkan mereka lagi.

Tegas beliau, pembelajaran tulisan khat bukan eksklusif kepada orang Islam sahaja kerana di utara India pun, penduduk bukan Islam tahu membaca jawi kerana skrip itu diajar dalam sistem pendidikan sekolah India.

Justeru, beliau mempersoalkan siapa Dong Zong, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik yang mahu menentang pengenalan tulisan ini.

Dr Ahmad Murad berkata, Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang estremis secara sistematik dalam melakukan penentangan pembinaan negara bangsa sepatutnya diharamkan sahaja.

Dong Zong secara sistematis telah menentang naratif negara yang mereka bermastautin ini dan layak digelar warga negara yang derhaka.

Mereka menentang grundnorm Malaysia iaitu Melayu dan Islam, selain tidak pernah menyumbang kepada perpaduan nasional.

Menurutnya, penentangan yang dilakukan oleh Dong Zong, bersama-sama NGO dan parti-parti bukan Melayu ke atas peraturan dasar ini bukan baharu tetapi sejak lebih enam dekad lalu.

Penolakan pengajaran khat di sekolah adalah contoh terkini, lantaran itu kita tidak perlu menerangkan kepada golongan ini tentang sejarah dan kaitan khat dengan budaya dan estetik sejarah dan peradaban Melayu.

“Apa sejarah Malaysia yang mereka ingin diajar? Sedangkan golongan ini termasuk ramai yang bukan Melayu hanya meremehkan sejarah negara.

“Kumpulan sebegini, sama ada NGO atau parti politik, hendaklah diharamkan saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Ahmad Murad percaya, Dong Zong tidak akan menentang sistem persekolahan di Malaysia jika ada cadangan untuk mewajibkan pengajaran pemikiran Chin Peng atau sejarah Taiwan.

Jelasnya, tidak pernah wujud dalam kalangan Melayu untuk ‘pembersihan budaya’ tetapi inilah yang Dong Zong dan puak-puak penentang khat ke atas budaya peradaban Melayu yang merupakan budaya nasional Malaysia. – MalaysiaGazette