Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Operasi, TM (3 dari kiri) dan Mohd Jukris Abdul Wahab, Naib Presiden, Aset Antarabangsa, Huluan, Petronas/Pengerusi, EPOMS (3 dari kanan) bertukar-tukar dokumen MoC antara kedua-dua organisasi.

KUALA LUMPUR – TM ONE, unit rumusan perniagaan Telekom Malaysia Berhad (TM), bersama E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS), anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn Bhd telah menandatangani satu Memorandum Kerjasama (MoC) bagi menjalinkan perkongsian strategik mendigitalisasikan penyelesaian operasi dan penyelenggaraan bagi pihak EPOMS.

Kerjasama ini termasuk pelantikan TM ONE sebagai salah satu rakan teknologi rasmi EPOMS dalam menyediakan rumusan digital yang holistik untuk mewujudkan tenaga kerja dan pengurusan
data yang lebih terhubung.

Usahasama ini bertujuan untuk mempertingkatkan dan memperkasakan pendigitalan O&M, satu langkah ke arah menjadikan industri minyak dan gas lebih produktif, tangkas dan bersedia untuk masa hadapan.

Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Anuar Abd Rahman sementara TM ONE telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Ts. Azizi A. Hadi.

Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Anuar Abd Rahman, berkata: “EPOMS sedang melalui perubahan  daripada pembekal perkhidmatan (O&M) konvensional kepada rakan penyelesaian yang efektif berlandaskan konsep ‘Menyediakan Nilai Sebenar’ kepada para pelanggan kami.

Oleh itu, ini merupakan satu inisiatif yang baik bagi TM melalui TM ONE untuk bekerjasama dengan kami dalam sebuah projek yang memfokus terhadap pendigitalan.

“Kerjasama digital yang terjalin ini dapat memberi EPOMS teknologi dan sumber-sumber yang diperlukan untuk memacu sistem pengurusan pangkalan data bersepadu kami yang sedia ada, iaitu MyEPOMSx, dalam perkembangan dan ketersediaan digitalnya”, tambah beliau lagi.

Kerjasama TM bersama EPOMS adalah berdasarkan tiga inisiatif digital iaitu Topi Keselamatan Pintar, Tenaga kerja Terhubung dan penyelesaian Penyelenggaraan Jangkaan.

TM ONE akan menyediakan sambungan yang menyeluruh, pengurusan data, perkhidmatan awan dan juga penyelesaian yang diubahsuai bagi perkara-perkara penting dari sudut integriti aset dan kebolehpercayaan aset.

Inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan berkembang dan diperluaskan bagi merangkumi aspek dan penyelesaian
lain dalam masa terdekat.

Tumpuan utama penyelesaian ini adalah untuk meningkatkan kecekapan operasi dan infrastruktur berprestasi tinggi.

Katanya, melalui kerjasama ini, TM ONE akan membantu dalam ketersediaan sistem digital EPOMS dan memberikan penyelesaian teknikal untuk menjadikan EPOMS lebih berdaya saing.

TM sentiasa menjadi penggerak bagi industri minyak dan gas gas sejak tahun 2007 melalui rangkaian sambungan sedia ada yang meluas.

Sehingga kini, platform luar pantai di Laut China Selatan dihubungkan dengan perkhidmatan Rangkaian Luar Pesisiran Berkelajuan Tinggi (HSON) melalui kabel dasar laut fiber optik TM ONE.

Sambungan berkelajuan tinggi ini akan membolehkan operasi dan kerja penyelenggaraan dilakukan pada masa nyata serta penggunaan aplikasi canggih seperti kecerdasan buatan, pembelajaran mesin dan analitik ramalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast