Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Seni khat dan tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat tidak akan mengubah agama juga jati diri seseorang.

Justeru Ketua Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad menyelar bantahan yang disuarakan oleh pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) termasuk beberapa pemimpin akar umbi DAP.

“Dalam isu ini, Wanita UMNO melahirkan rasa hairan kenapa tulisan jawi diserang, walhal Kementerian Pendidikan sendiri telah menjelaskan bahawa pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah sambil menegaskan keupayaan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

“Wanita UMNO yakin pembelajaran seni khat jawi ini tidak akan sesekali mengubah jati diri dan pegangan agama seseorang,” katanya menerusi kenyataan.

Semua pihak kata beliau sepatutnya rasional melihat keputusan Kementerian Pendidikan baru-baru ini sebagai salah satu usaha melahirkan generasi muda yang serba boleh.

“Justeru, semua pihak seharusnya bersikap rasional demi mahu melihat generasi muda hari ini serba boleh dalam kehidupan masyarakat Malaysia berbilang kaum,” tambahnya.

Wanita UMNO kata Ahli Parlimen Parti Sulong itu, menggesa semua universiti memainkan peranan dalam meningkatkan penggunaan tulisan jawi.

“Dalam aspek ini, Wanita UMNO menggesa pihak universiti supaya memainkan peranan untuk terus memelihara dan mengajar tulisan Jawi di universiti atau mewujudkan pusat pembelajaran tulisan jawi,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menegaskan bahawa keputusan memperkenalkanseni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah muktamad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau tidak faham kenapa isu tulisan Jawi menjadi satu masalah dan mereka yang tidak berpuas hati mungkin perlu membaca sejarah kembali. – MalaysiaGazette