Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

PUTRAJAYA- Hanya kira-kira 30 peratus daripada aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai kaitan dengan rasuah.

Menurut Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya, baki 70 peratus lagi tidak mempunyai sebarang kaitan dengan rasuah.

“Sejak dua bulan memasuki pejabat saya menerima bertimbun surat aduan setiap hari. Ini yang diterima oleh pejabat saya sahaja.

“Kami mempunyai pelbagai saluran untuk membuat aduan sama ada di pejabat, surat atau emel tetapi saya boleh katakan hanya 30 peratus daripada surat tersebut mempunyai kaitan dengan rasuah.

“Baki 70 peratus lagi tidak mempunyai kaitan. Ada yang mengadu mengenai majlis perbandaran, kes mahkamah dan sebagainya.

“Mungkin mereka ingat SPRM boleh selesaikan semua masalah,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis Pentas Ekslusif bersama KP SPRM di sini hari ini.

MGF060819_PROGRAM EKSEKUTIF BERSAMA KETUA PESURUHJAYA07
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berucap pada Program Eksekutif Bersama Ketua Pesuruhjaya di Pulse Grande Hotel, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OGOS 2019

Tambah Latheefa, aduan-aduan yang tidak mempunyai kaitan dengan rasuah terpaksa dihantar ke agensi-agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu semasa sesi soal jawab dengan hadirin, Latheefa menegaskan peruntukan undang-undang Seksyen 17A, Akta SPRM 2009 tidak seharusnya dilihat sebagai hukuman.

Sebaliknya, ia juga adalah satu langkah pencegahan rasuah.

Seksyen 17A dikenakan ke atas organisasi komersial iaitu sebuah syarikat atau perkongsian yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016, Akta Perkongsian 1961 atau Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 yang menjalankan perniagaan di Malaysia atau di tempat lain serta organisasi yang didaftarkan di luar Malaysia namun menjalankan perniagaan di sini.

MGF060819_PROGRAM EKSEKUTIF BERSAMA KETUA PESURUHJAYA10
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (dua kiri) hadir pada Program Eksekutif Bersama Ketua Pesuruhjaya di Pulse Grande Hotel, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OGOS 2019

Undang-undang itu juga dikenakan terhadap mereka yang bersekutu dengan organisasi komersial itu dengan niat untuk memperoleh faedah atau mengekalkan perniagaan.

Ini termasuk pengarah, pengawal, pegawai, perkongsiannya atau individu yang terlibat dengan pengurusan hal ehwal organisasi komersial semasa rasuah dilakukan.

Hukuman yang diperuntukkan jika sesebuah organisasi komersial didapati bersalah dan disabitkan adalah denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai suapan atau RM1 juta, yang mana lebih tinggi atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast