Sekumpulan pekerja tekun melakukan kerja-kerja menenun sutera kiswah di Kilang Kiswah Kaabah di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 05 OGOS 2019.

MAKKAH – Manifestasi sifat kecantikan Rumah Allah. Begitu gambaran yang diberi oleh Naib Pengurus Kilang Kiswah Kaabah, Hisham Alladein tatkala berkongsi pengalaman mengendalikan kiswah yang menjadi ‘selimut’ Kaabah.

Sememangnya Kiswah mempunyai kisah dan rahsianya yang tersendiri. Perinciannya amat rapi bermula daripada pemilihan kain, benang emas, tatarias serta mutu tenunan sulaman – semuanya mesti berada pada tahap terbaik.

Ini kerana setiap mata yang menghayati keajaiban Kaabah, pasti tidak akan dapat terlepas daripada mengkagumi kehalusan seni khat yang menyulami kiswah serta keindahan material yang digunakan.

Kiswah umpama perhiasan Kaabah yang menjadi tumpuan jutaan umat Islam sekaligus menjadi pusat penyatuan ummah tanpa mengira bangsa dan kedudukan setiap kali tibanya musim haji.

Tentunya proses menyediakan kiswah setiap tahun bukanlah kerja yang mudah biar pun ia telah menjadi tradisi turun temurun.

Para petugas memikul tanggungjawab yang amat besar lantaran kilang menghasilkan kiswah ini telah diberi kepercayaan sejak 100 tahun lalu, tentunya sebarang kesilapan dan kecacatan walaupun kecil yang mungkin tidak disedari oleh orang lain tidak akan dibenarkan sama sekali.

MGF05082019_Kilang Kiswah_09
Sekumpulan pekerja tekun melakukan kerja-kerja menenun sutera kiswah di Kilang Kiswah Kaabah di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 05 OGOS 2019.

Peluang MalaysiaGazette bersama kumpulan media dari 11 negara menyaksikan sendiri proses pembuatan kiswah sememangnya pengalaman yang membuatkan kami terpegun dan tidak akan dilupakan seumur hidup.

Bukan mudah untuk masuk ke kilang ini kerana segala-galanya terlalu istimewa sebagaimana istimewanya kiswah itu sendiri yang memerlukan 670 kilogram (kg) sutera dan 159 kg benang emas! Istimewa kan. Kami juga berasa sangat istimewa kerana menikmati peluang keemasan ini.

Menjelaskan proses pembuatan kiswah, Hisham memberitahu, kualiti sutera dan benang emas itu terlebih dahulu wajib melalui proses pemeriksaan di makmal khas sebelum diluluskan.

MGF05082019_Kilang Kiswah_08
Seorang pekerja fokus melakukan kerja-kerja menenun sutera kiswah di Kilang Kiswah Kaabah di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 05 OGOS 2019.

Selain benang emas dan sutera, ayat al- Quran yang ditenun juga menggunakan benang perak, kata Hisham kepada wakil media negara-negara Islam yang melawat kilang berkenaan semalam.

Bahan benang emas dan perak menggunakan sumber tempatan namun sutera diimport dari Itali memandangkan kualiti produknya.

“Atas kapasiti yang sama dua tesis PhD dibuat mengenai kiswah Kaabah, satu mengenai kualitinya dan satu mengenai sejarahnya yang panjang,” ujarnya lagi.

MGF05082019_Kilang Kiswah_12
Dua pekerja sedang memproses sutera yang dimport dari Itali untuk membuat kiswah di Kilang Kiswah Kaabah di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 05 OGOS 2019.

Menurut Hisham, selain aspek kualiti, disiplin setiap pekerja yang menenun juga dipastikan bagi mengelak sebarang kecacatan pada kiswah.

Kami juga dibawa melihat peralatan lama yang digunakan untuk menenun kiswa sejak zaman berzaman yang turut dipamerkan di kilang tersebut.

Bayangkan kiswah yang mempunyai saiz ketinggian 47 meter itu mengekalkan buatan tangan sampai ke hari ini.

MGF05082019_Kilang Kiswah_11
Pekerja memproses sutera yang dimport dari Itali untuk membuat kiswah di Kilang Kiswah Kaabah di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 05 OGOS 2019.

Setiap kali tiba 9 Zulhijah yang mana kesemua jemaah haji keluar dari Masjidil Haram menuju ke Arafah – pihak kilang kiswah akan memakaikan baju baharu kepada Kaabah.

Ditanya apa yang berlaku kepada kiswah yang lama, Hisham berkata, ia akan disimpan pihaknya namun jika ia dijadikan cenderahati khas oleh kerajaan, ia bukan lagi di bawah penguasaan pihaknya.

MGF05082019_Kilang Kiswah_01
Sebahagian tulisan di kiswah Kaabah, Kilang Kiswah Kaabah di Mekah. foto RADZUAN HASSAN, 05 OGOS 2019.

Difahamkan, kiswah lama Kaabah tidak disimpan begitu sahaja tetapi dipotong kecil bagi dijadikan cenderamata kerajaan Arab Saudi kepada individu, badan bukan kerajaan dan VIP

Di Malaysia, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah memberitahu, beliau dihadiahkan kain kiswah daripada Raja Arab Saudi.-MalaysiaGazette