KUALA LUMPUR – Impian selebriti popular, Neelofa untuk menunaikan haji kali buat kali kedua terbantut gara-gara masalah visa yang dihadapinya.

Menerusi perkongsian di InstaStory di Instagram miliknya, pengacara dan pelakon itu memberitahu dia dan jemaah lain tidak dapat menaiki penerbangan sejak dua hari lalu.

Namun usahawan tudung itu bersyukur kerana masalah visa mereka akhirnya berjaya diselesaikan bagi memboleh­kan dia dan jemaah lain berlepas ke Mekah esok.

“Mungkin ramai yang belum tahu saya dan jemaah lain tak dpt berangkat ke Jeddah 2 malam lepas atas masalah visa.

“Alhamdulillah setelah hampir 2 hari, akhirnya masalah visa diselesaikan dan akan berlepas ke Mekah esok,” tulisnya sebentar tadi.

neelofa 1Menerusi gambar yang dipaparkan, Neelofa yang memakai jubah serba hitam berada di lapangan terbang.

Turut kelihatan pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani.

Wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu turut merakam ucapan terima kepada individu-individu yang membantu menyelesaikan masalah visanya itu.

“Ramai yang sudi membantu dan selesaikan dengan penuh ikhlas. Tak pasti jika tuan2 badan bagi permission untuk saya sebut satu persatu, dengan bantuan mereka Allah permudahkan saya untuk menjadi tetamu-Nya buat kali kedua,” tulisnya lagi.

Neelofa sebelum memberitahu dia bakal menunaikan ibadah haji untuk kali kedua bersama keluarga pada 4 Ogos lalu.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 30, berkata, walau bagaimanapun mereka masih dalam proses untuk mendapatkan visa. – MalaysiaGazette