Dr. Sahruddin Jamal

KULAI – Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hari ini menolak dakwaan dalam Facebook kononnya beliau akan melepaskan jawatannya disebabkan kegagalan menangani isu pencemaran di Pasir Gudang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu turut menyifatkan hantaran (posting) yang dimuatnaik dalam media sosial mengenai dakwaan tersebut sebagai khabar angin.

“Pertama itu adalah khabar angin dan kedua, siapa yang menyebarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Logo dan Maskot Sukan Malaysia (Sukma) XX Johor 2020 di sebuah hotel di Senai, dekat sini hari ini.

Semalam, satu akaun Facebook iaitu Ops Johor memuat naik satu hantaran bertajuk ‘MB Johor akan lepaskan jawatan’ dengan mendakwa dipercayai disebabkan kegagalan Dr Sahruddin dalam menguruskan masalah pencemaran, selain mendakwa menerima tekanan daripada pelbagai pihak yang kecewa dan sedih dengan pentadbiran Johor hari ini. – MalaysiaGazette