Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas hari ini mempersoal mana janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ingin melaksanakan sistem subsidi petrol bersasar kepada golongan berpendapatan rendah B40.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini menyasarkan pelaksanaan itu akan dapat dilaksanakan pada suku kedua tahun ini namun ia masih gagal dilaksanakan walaupun sudah memasuki bulan Ogos.

“Setakat ini, Menteri masih gagal memberikan gambaran tepat apakah mekanisme terbaik untuk menyalurkan subsidi petrol kepada golongan B40.

“Berdasarkan kepada maklumat awam, amaun subsidi tersebut mungkin akan terus dimasukkan ke dalam akaun penerima. Jika benar, pihak KPDNHEP tidak sukar untuk menentukan sasaran penerima kerana mereka hanya bergantung kepada data yang terdapat dalam senarai Bantuan Sara Hidup (BSH) sahaja,” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution pada awal Julai lalu berkata, keputusan itu sedang dalam pelaksanaan fasa akhir merangka memo kepada jemaah menteri berhubung subsidi bersasar RON95.

Menurutnya, penyediaan memo bersama Kementerian Kewangan itu mengambil masa dalam tempoh seminggu ke dua minggu.

“Selesai sahaja kita akan bentangkan kepada jemaah menteri untuk dibincangkan dan sekiranya diberikan lampu hijau dan dipersetujui kita berhasrat melaksanakan pada tahun ini juga,” katanya Julai lalu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, KPDNHEP perlu menjelaskan apakah terma kontrak dan output yang telah dihasilkan oleh pihak GHL Transact Sdn Bhd setelah berjaya memenangi tender dari Kementerian Kewangan untuk membangunkan perisian dan perkakasan sistem subsidi petrol bernilai RM25.03 juta pada bulan Mac yang lalu.

“Adakah pihak KPDNHEP menggunakan sepenuhnya sistem yang dibangunkan oleh syarikat tersebut?

“Saya ingin tekankan sekali lagi agar Menteri segera memuktamadkan mekanisme terbaik sistem subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah B40. Mereka sedang dibelenggu dengan tekanan kos sara hidup yang masih tinggi meskipun GST telah dihapuskan oleh Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Pada Mac lalu, GHL Systems Bhd. mendapat kontrak bernilai RM25.03 juta untuk mereka dan membangunkan aplikasi perisian serta perkakasan membabitkan subsidi petrol RON95.

Menurut GHL Systems, kontrak tersebut diperoleh melalui anak syarikatnya, GHL Transact Sdn. Bhd. daripada Kementerian Kewangan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.