KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjelaskan keputusan merobohkan  replika buku di bumbung bangunan badan itu terpaksa dilakukan demi keselamatan ramai.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, pemeriksaan oleh Jabatan Kerja Raya di Menara DBP mendapati struktur replika ini tidak kukuh disebabkan hakisan dan karatan yang teruk.

“Perobohan replika berbentuk buku di Menara DBP banyak ditularkan oleh warga maya dengan berbagai-bagai tanggapan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa perobohan ini dibuat atas faktor keselamatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Isu perobohan replika itu menimbulkan kerisauan ramai apabila kelulusan meroboh telah diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengelola DBP ke 281.

Dalam pada itu, Abang Salehuddin berharap perobohan replika buku ini tidak disalahtafsir dan dikaitkan dengan hal-hal yang tidak berkaitan.

“Perobohan replika ini berkaitan dengan isu keselamatan staf dan pengunjung DBP dan orang awam.

“Sebagai organisasi yang bertanggungjawab, kami perlu memastikan staf, pengunjung serta orang awam selamat apabila bekerja, berurusan dengan kami termasuklah orang awam yang melalui kawasan bangunan ini,” katanya lagi.

Ditanya samada DBP akan menggantikan replika buku tersebut dengan projek lain, beliau berkata DBP masih dalam perancangan untuk dikemukakan kelak. -MalaysiaGazette