KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini, dengan indeks barometer dipengaruhi oleh aktiviti penjualan saham berwajaran tinggi terpilih.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran turun 1.89 mata kepada 1,614.13, selepas dibuka 2.72 mata lebih rendah pada 1,613.3.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 171 berbanding 70, manakala 142 kaunter tidak berubah, 1,521 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 929.09 juta unit bernilai RM369.85 juta.

Kenanga Investment Bank berkata sentimen suram masih kekal sejajar dengan petunjuk teknikal utama yang tidak menggalakkan.

Paras sokongan utama berada pada 1,600 dan 1,570, namun sekiranya indeks utama mencatatkan aliran rendah dan sebaliknya, paras rintangan dijangka dilihat pada 1,630 dan 1,650, menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Sime Darby Plantation turun 11 sen kepada RM4.59, Axiata susut enam sen kepada RM4.94, MISC kurang lapan sen kepada RM7.13 dan IOI Corp menguncup lima sen kepada RM4.23.

Public Bank melonjak 16 sen kepada RM21.58, TNB naik empat sen kepada RM13.88 manakala Maybank dan Dialog masing-masing menokok dua sen kepada RM8.64 dan RM3.43.

Bagi saham yang paling aktif, Excel Force naik dua sen kepada 66.5 sen, Datasonic meningkat tiga sen kepada 82.5 sen, AirAsia X menokok satu sen kepada 21.5 sen manakala Eduspec dan Metronic masing-masing tidak berubah pada 5.5 sen dan enam sen, dan Ta Win Holdings susut 1.5 sen kepada 17 sen.

FBM Ace meningkat 5.45 mata kepada 4,657.52, FBM 70 naik 27.76 mata kepada 14,307.25, Indeks FBM Emas turun 3.67 mata kepada 11,436.4, Indeks FBM Emas Syariah susut 26.86 mata kepada 11,901.15 dan Indeks FBMT 100 turun 4.92 mata kepada 11,268.48.

Mengikut sektor, Perkhidmatan Kewangan naik 30.5 mata kepada 15,887.82, Indeks Perladangan merosot 75.72 mata kepada 6,681.49, serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.07 mata kepada 151.54. – MalaysiaGazette