Sebahagian daripada etnik Rohingya bermain sepak takraw sebagai aktiviti riadah pada waktu petang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Selayang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 11 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mewujudkan perkampungan penempatan semula untuk mengumpulkan semula pelarian yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang bertaburan di seluruh negara disambut baik oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar (Mehrom).

Bagaimanapun, Mehrom berharap, perkampungan itu memberi akses pekerjaan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Presiden Mehrom, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, pelaksanaan idea ini akan memberi manfaat kepada pelarian dari segi akses kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan.

Malah, Mehrom menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam menyediakan maklumat yang relevan kerana mempunyai cawangan di setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, Rohingya telah memberi sumbangan kepada ekonomi dan pembangunan Malaysia sejak tiga dekad lalu dan mahu bersedia untuk terus dengan apa pun cara kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada komuniti itu.

“Kami berterima kasih kepada YB Zuraida kerana membangkitkan inisiatif-inisiatif ini dan kami berharap dapat memberi input kepada beliau tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Zuraida berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji idea tersebut kerana langkah itu bukan sahaja memudahkan pemantauan pelarian sedia ada khususnya Rohingya, tetapi pada sama, ia akan membolehkan komuniti berkenaan mendapat akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Sekiranya kita boleh menubuhkan satu kawasan yang ditetapkan atau perkampungan untuk mereka dengan kemudahan seperti sekolah dan untuk memberi mereka orientasi kepada gaya dan budaya Malaysia agar mereka dapat ‘bercampur’, kita sebenarnya boleh membantu mereka.

“Dengan cara ini, kita juga boleh menggunakan tenaga kerja mereka dalam beberapa sektor berbanding hanya bergantung kepada pekerja asing. Kita boleh meminimumkan kemasukan pekerja asing dengan memanfaatkan komuniti pelarian,” kata menteri itu.

Mengulas mengenai lawatan rasmi Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia, Mehrom sangat berharap kedua-dua pemimpin ASEAN itu akan membincangkan mengenai penyelesaian isu pembersihan etnik Rohingya.

Zafar berkata, pembersihan etnik terhadap Rohingya mesti berhenti agar Rohingya dapat pulang dengan selamat.

“Kami berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia Jokowi atas sokongan mereka yang tidak berkesudahan untuk Rohingya,” katanaya. – MalaysiaGazette