Darren Lai Chai En.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa memberi layanan berat sebelah terhadap Lynas berbanding Forest City.

Ahli Dewan Muda Johor, Darren Lai Chai En berkata, ini kerana Perdana Menteri itu sering mengeluarkan kenyataan seolah-olah Forest City tidak mendatangkan keuntungan kepada negara meskipun hakikatnya adalah sebaliknya.

Namun berbeza dengan Lynas meskipun sebelum menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir menentangnya, kini tidak lagi sebaliknya menganggap ia tidak boleh dihentikan kerana negara beririsiko kehilangan pelabur asing.

“Jika dalam isu Lynas, Tun Dr Mahathir risau mengenai isu pelabur akan lari jika Lynas ditutup, maka dalam isu Forest City, Tun Dr Mahathir perlu mengambil pendekatan yang sama iaitu untuk memberikan kerjasama yang padu agar projek ini terus berjalan dan menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi negara.

“Jika tidak, ia juga akan memberikan persepsi yang buruk kepada pelabur luar terutamanya daripada China mengenai sikap ketidakadilan kerajaan Malaysia dalam melayan pelabur China yang datang ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Darren mendakwa pulangan projek Forest City boleh mencecah lebih RM400 bilion berbanding Lynas selain membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak.

“Yang paling penting, jika hendak dibandingkan kadar pulangan daripada segi ekonomi antara Lynas dan Forest City, pulangan pelaburan untuk Forest City adalah jauh lebih tinggi iaitu bernilai RM410 billion berbanding dengan Lynas yang hanya pada sekitar RM1billion.

“Jika mahu dibandingkan daripada segi peluang pekerjaan, Forest City juga jauh meninggalkan Lynas dengan memberikan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada orang tempatan. Oleh itu, Tun Dr Mahathir perlu bersikap konsisten dengan dasar pelaburan luar dan dalam negara dan tidak bersikap ‘double-standard’ terutamanya bila melibatkan isu-isu berkaitan negeri Johor,” ujarnya.

Semalam Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh ‘menghalau’ Lynas setelah menjemput syarikat perlombongan nadir bumi itu melabur di negara ini.

Jelasnya, Lynas telah melabur lebih RM1 bilion untuk operasinya di Malaysia, cuma proses perlombongan nadir bumi itu dikatakan mempunyai radioaktif pada sisanya.

Pelabur juga, ujar Perdana Menteri itu, sedang memerhati tindakan kerajaan terhadap Lynas. – MalaysiaGazette