KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Nurini Kassim bahawa kerajaan menghadapi kekangan kewangan sehingga tidak dapat membuat bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kakitangannya tidak berasas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kementeriannya sentiasa mengutamakan pembayaran gaji termasuk sumbangan KWSP.

Malah, katanya, emolumen dan gaji sentiasa akan diberikan peruntukan yang mencukupi agar bayaran emolumen boleh dibayar terdahulu berbanding dengan bayaran lain.

Beliau membangkitkan persoalan sama ada wang yang harus diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan sumbangan KWSP telah “dialihkan” oleh Bernama untuk tujuan pembayaran lain.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk memulakan sebuah siasatan untuk menentukan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas kedudukan serius ini dan juga menyekat bayaran sumbangan KWSP agar tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, pihaknya memandang serius dakwaan pengurus kanan akaun dan kewangan agensi berita nasonal itu bahawa mereka belum menerima geran daripada kerajaan sehingga menjejaskan potongan KWSP dan bayaran bulanan pinjaman kereta kakitangannya.

Malah, pengurus kanan itu jug dipetik sebagai berkata, untuk gaji bulan Ogos, tiada jaminan bahawa ia akan dibayar sekitar 22 atau 23 hari bulan.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, timbl persoalan kerana sekiranya sekiranya gaji bulan Julai tidak mampu dibayar kerana tidak menerima geran daripada Kementerian Kewangan, mengapa pula Kementerian Kewangan hanya menerima surat permohonan bertarikh 19hb Julai 2019 yang diterima pada 22 Julai?”

“Kerajaan Persekutuan bukanlah kerajaan yang bankrap seperti kerajaan negeri tertentu yang tidak mampu bayar gaji anggota pentadbiran mereka.

“Laporan sedemikian yang membelakangkan fakta sememangnya telah memburukkan imej Kementerian Kewangan yang sering dipersalahkan apabila Kementerian atau agensi melebihi perbelanjaan bajet dan cuba mencari alasan selain daripada kegagalan mereka sendiri menguruskan kewangan dengan baik,” katanya.