Korban Perdana Pasar Tani bersama Sumbang Bitara Sfn. Bhd., di Tapak Pasar Tani Jalan Datin Halimah, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – 40 ekor lembu dan 60 ekor kambing. Jika menggunakan kaedah penyembelihan tradisional tentunya memakan masa yang panjang, memerlukan banyak tenaga kerja serta renyah.
Belum lagi dikira proses pengagihan, silap-silap seharian mengadap kerja-kerja untuk menyempurnakan ibadah korban.
Ternyata teknologi moden tidak mengecewakan apabila kini kerja-kerja menyembelih lembu, melapah dan memotong dapat dilakukan dengan pantas dengan tenaga kerja yang sangat minimum.
Ini terbukti apabila teknologi penyembelihan moden diguna pakai dalam Program Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha Fama negeri Johor dengan kerjasama Sumbang Bitara Sdn. Bhd., yang berlangsung hari ini.
Hanya 12 minit diperlukan untuk menyembelih, menyisihkan kulit dan kemudian melapah dan memotong lembu menjadi empat bahagian.
lembu baru
Lembu yang telah disembelih dinaikkan menggunakkan kren untuk dibuang kulit dan kemudian dilapah.
Pegawai Penyelaras Pasar Tani negeri Fakhrul Anuwar Ahmad berkata, menerusi kaedah penyembelihan moden pihaknya berjaya menyembelih 40 ekor lembu dan 60 ekor kambing dalam program yang diadakan di tapak pasar tani Jalan Datin Halimah.
Katanya, dengan adanya kemudahan itu membolehkan 280 orang menyertai ibadah korban kali ini di mana para peserta terdiri daripada peniaga pasar tani, para pelanggan setia pasar tani termasuk warga Singapura.
“Kami teruja dengan kaedah tersebut yang mana dapat menyembelih lebih banyak lembu dan kambing untuk korban, berbanding sebelum ini dengan menggunakan kaedah lama hanya mampu menyembelih antara enam hingga tujuh ekor lembu.
maznah5
Peringkat terakhir sebelum daging korban diagihkan.
“Berdasarkan maklum balas daripada orang ramai, kami yakin pada musim akan datang lebih ramai umat Islam dapat menyertai ibadah korban,” katanya.
Sementara itu Pengurus Besar Sumbang Bitara, Ahmad Yusuf Serkan yang merupakan pembekal lembu dan kambing terkemuka memberitahu, pihaknya mahu berkongsi dengan masyarakat kemudahan dan peralatan moden serta sumber tenaga berpengalaman bagi mengendalikan ibadah korban.
“Bagi mengendalikan ibadah korban itu kami hanya memerlukan 40 orang untuk kerja-kerja melapah, membersihkan dan mengaihkan daging tersebut kepada  para peserta, ” katanya kepada MalaysiaGazette  di sini hari ini.
Jelas Ahmad Yusuf, apa yang dilakukan diharap mendapat rahmat daripada Allah SWT. – MalaysiaGazette