KUALA LUMPUR – Sejak DAP semakin terperangkap dengan isu-isu melibatkan kepentingan bukan Melayu dan Islam, kini perlahan-lahan kepimpinan parti itu mula lantang menyoal kerajaan sendiri.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini melahirkan kebimbangan beliau dengan tindak tanduk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang padanya seringkali membuat keputusan secara sendirian terutamanya dalam isu-isu tertentu.

Beliau  memberikan pelbagai contoh keputusan terburu-buru kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Dr Mahathir yang disifatkan sebagai tidak mencerminkan sentimen rakyat termasuk isu kontroversi pembelajaran seni khat, Lynas, melindungi penceramah Zakir Naik, ICERD dan Statut Rom.

Charles yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan terbuka mengkritik ‘kuasa mutlak’ yang  sungguh luas digunakan oleh Dr Mahathir untuk membuat pelbagai keputusan tanpa berunding dengan parti-parti lain terlebih dahulu.

“Apa yang sedang berlaku pada masa ini sebenarnya sangat membimbangkan di mana Tun Mahathir membuat keputusan sepihak untuk semua. Nampak gaya, semua keputusan dibuat olehnya sahaja.

“Kontroversi terbaru, pengenalan khat, sungguh malang sekali kaligrafi indah seperti khat kini diporak perandakan oleh segelintir pihak dengan pelbagai jenis spekulasi kurang enak.

“Tetapi apa yang kita tidak sedar dalam proses kontroversi sejak dua minggu ini, kita tidak perasan pula siapa sebenarnya yang membuat keputusan seperti ini.

“Saya hampir pasti kedua-dua, Dr Maszlee Malik dan Tun Mahathir sedar tentang sensitiviti golongan bukan Melayu dalam isu ini sebelum mengeluarkan cadangan ini bukan begitu?

“Ramai juga tertanya-tanya dan mengesyaki ada yang tidak kena apabila kerajaan PH bertindak melindungi Zakir Naik? Sedangkan penceramah ini sangat di kehendaki oleh kerajaan India atas dakwaan penggubahan wang haram selain aktiviti keganasan.

“Kita juga bertindak menarik balik ratifikasi dua konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), iaitu Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd) dan Statut Rom,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

MGF20072019_PERHIMPUNAN AGUNG KHAS PPBM13_1Charles menambah, tidak cukup dengan itu kerajaan juga akan membuat pusingan ‘U’ dalam membaharuan lesen operasi Lynas yang sebelum di tentang habis-habisan.

“Nampaknya kerajaan akan kehilangan keyakinan umum dengan membuat keputusan-keputusan seperti ini malah sebenarnya rata-rata mereka sedang sangat marah kerana mengundi kita.

“Pengundi juga sedang berkira-kira untuk menumbangkan kita pada pilihan raya akan datang nanti, saya sendiri memahami perasaan pengundi-pengundi ini sebenarnya.

“Sebelum saya lupa juga, ekonomi kita juga tidaklah dalam keadaan ‘begitu hebat sekali’ pada masa ini.

“Sepatutnya Tun Mahathir sudah memahami perasaan serta sentimen para pengundi kita pada masa ini, beliau juga perlu faham dengan membuat keputusan-keputusan sepihak tanpa berunding dengan pihak lain akan menyebabkan beliau tidak dapat pergi ‘jauh’.

“Seharusnya dengan semua ini, kita perlu mengkaji semula proses membuat keputusan pada Majlis Presiden Pakatan Harapan. Setiap isu yang berkontroversi apatah lagi menyentuh kaum dan bangsa perlu melalui Majlis Presiden.

“Nampak terlalu luas kuasa Perdana Menteri dan sepatutnya kuasa itu perlu dikongsi dengan yang lain dalam komponen PH ini sendiri. Kita tidak boleh menyingkirkan bekas perdana menteri Najib Razak, hanya untuk menjadi seperti dirinya.

“Isu khat ini sebenarnya boleh ‘tunggu’, sebenarnya ada banyak lagi perkara yang lebih bagus dan penting yang kita boleh rundingan dalam tempoh 14 hari lepas daripada isu khat tidak berkesudahan ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.