Datuk Mohamad Mat Yusop
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. foto NOOREEZA HASHIM, 15 OGOS 2019.

SEREMBAN – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang mengesan netizen yang menggunakan akaun bernama Zikri Armstrong di laman Twitter kerana memuat naik ciapan mendakwa Nora Anne Quoirin dirogol orang asli.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, dakwaan tersebut sama sekali tidak benar, dan laporan pakar patalogi hari ini telah membuktikan punca sbeenar kematian remaja warga Ireland itu.

“Itu tidak benar, Twitter mengatakan Nora Anne dirogol adalah tidak benar, laporan telah kita buat dan kita akan mengesan pemilik akaun Twitter tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu ciapan oleh netizen yang menggunakan nama Zikri Armstrong di Twitter mendakwa remaja warga Ireland yang dilaporkan hilang sebelum ditemui mati selepas 10 hari itu dirogol orang asli.

“Perogol Nora Anne adalah orang asli. Police will never find the killer cuz most orang asli still dont have IC or any sort of citizen data. Bet me,” katanya di laman Twitter itu.

Kelmarin, ibu bapa Nora Anne mengesahkan mayat berkulit cerah yang ditemui pada 1.57 tengah hari ialah anak mereka yang dilaporkan hilang dari sebuah resort di Pantai, Negeri Sembilan pada 4 Ogos lalu. – MalaysiaGazette