KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking mempertahan kemampuan presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk mentadbir Sabah.

Darell berkata, Shafie yang juga Ketua Menteri telah melakukan yang terbaik sepanjang setahun tiga bulan ini termasuk berjaya membawa beberapa pelabur yang berpotensi dan sedang membuat pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

“Beliau melakukan sebanyak yang boleh walaupun menghadapi banyak cabaran,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Aerospace Malaysia 2019 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Aziz Julkarnain bahawa Shafie dan kerajaan negeri telah merosakkan ekonomi Sabah selepas berlaku penurunan 6.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu dalam tempoh kurang daripada setahun mentadbir.

Darell menegaskan apa yang berlaku adalah kesan daripada pentadbiran sebelum ini.

Beliau turut mendakwa terdapat individu daripada kerajaan terdahulu yang menyalahgunakan kuasa mereka hingga membawa kepada penurunan KDNK.

“Namun apabila kementerian saya mengumumkan berita positif, beberapa pihak akan mengaitkannya dengan hasil kerajaan sebelumnya.

“Jadi dalam hal ini, jika dia menuduh Warisan menjadi penyebab kejatuhan KDNK di Sabah, saya juga boleh mengatakan bahawa ia adalah kerja kerajaan sebelumnya,” katanya. – MalaysiaGazette