KUALA LUMPUR – AmBank Research menjangkakan sasaran subsidi bahan api akan memastikan tekanan harga kekal lemah pada 2019, dengan inflasi teras naik antara 0.5 peratus dan 1.0 peratus pada tahun ini.

Firma penyelidikan itu dalam satu nota menjangkakan inflasi kekal lemah pada bulan-bulan akan datang dengan sentimen keseluruhan terus kekal lembap, berikutan pertumbuhan merekodkan kadar sederhana sebanyak 1.4 peratus dari tahun ke tahun dalam inflasi Julai 2019 berbanding dengan 1.5 peratus pada Jun 2019.

“Data inflasi Julai terus menyokong unjuran kami bahawa kadar aktiviti ekonomi semasa masih tidak mencukupi untuk meringankan tekanan harga.

“Potensi kenaikan inflasi akan disebabkan oleh kesan asas yang rendah, timbul akibat tempoh sifar cukai pada 2018,” katanya.

AllianceDBS Research juga mempunyai pandangan yang sama, ia mengekalkan ramalan inflasi 2019 pada 0.8 peratus dari tahun ke tahun disebabkan oleh tekanan inflasi yang lebih lemah daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini, ditambah pula dengan inisiatif oleh kerajaan bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Menurut firma penyelidikan itu, peningkatan kos sara hidup terus menjadi isu yang perlu ditangani oleh kerajaan, khususnya di kalangan isi rumah pendapatan rendah yang banyak menghabiskan perbelanjaan mereka ke atas barangan keperluan seperti makanan dan perumahan.

AllianceDBS Research berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai 2019, Makanan & Minuman Bukan Alkohol naik sebanyak 1.4 peratus dari tahun ke tahun manakala Perumahan & Utiliti menokok sebanyak 2.0 peratus dari tahun ke tahun secara purata. – MalaysiaGazette