ISTANBUL – Piala Super UEFA 2019 awal pagi mencipta sejarah baharu apabila menyaksikan kecemerlangan pengadil wanita pertama yang mengadili perlawanan dalam kejuaraan utama Eropah.
Stephanie Frappart, 35, membuktikan jantina tidak menjadi penghalang apabila membuat beberapa keputusan penting termasuk membatalkan dua gol Chelsea serta menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad bimbingan Frank Lampard itu.
Malah lebih mengujakan keputusan beliau itu ternyata tepat berdasarkan bantuan pembantu pengadil dan sistem VAR.
Ini kerana gol Mason Mount dan Christian Pulisic dinafikan selepas dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Detik kontroversi hadir selepas Stephanie menghadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan kepada The Blues apabila Tammy Abraham dikasari penjaga gol Liverpool dalam kotak penalti.
Namun pengadil berasal dari Perancis itu tegas berhadapan dengan bantahan pemain berkelas dunia dan membuktikan kewibawaannya bersama rakan segenaranya Manuela Nicolosi dan Michelle O’Neill dari Ireland.
Mereka sebelum ini sering bekerjasama dan telah beberapa kali diberi tanggungjawab mengadili perlawanan dalam kejohanan-kejohanan besar termasuk Piala Dunia Wanita tahun ini.
Dia juga menjadi wanita pertama yang mengadili perlawanan Ligue di antara Amiens dan Strasbrough pada April tahun ini.
Dua tahun lepas di Jerman, saingan Bundesliga pernah menyaksikan pengadil wanita, Bibiana Steinhaus menjadi pengadil perlawanan sewaktu pertembungan di antara Hertha Berlin dan Werder Bremen di Olympiastadion.
Selain sukan bola sepak, sukan-sukan lain juga kini telah mula melibatkan wanita untuk mengadili perlawanan-perlawanan penting.
Baru-baru ini Belinda Sharpe, 32 menjadi wanita pertama mengadili Liga Ragbi Kebangsaan di Australia.
GS Lakshmi, 51, dari India pula telah dipilih oleh Majlis Kriket Antarabangsa sebagai pengadil untuk perlawanan utama bagi kejohanan antarabangsa. – MalaysiaGazette
















