Pengarah JSJ Bukit Aman,Komisioner Datuk Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis akan menyambung mengambil keterangan Dr Zakir Naik pada Isnin ini selepas siasatan dimulakan semualam oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, polis telah menerima dua laporan polis bertarikh 12 Ogos dan 14 Ogos lalu.

Laporan pertama diterima daripada seorang pengadu yang melihat video dalam WhatsApp mengenai ceramah disampaikan oleh pendakwah tersebut.

“Dalam video itu .pengulas memberitahu bahawa Zakir Naik menyatakan Hindu di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia sebaliknya menyokong Perdana Menteri India Narendra Modi.

“Laporan kedua pula dari Jelutong daripada seorang ejen insurans yang melihat berita MalaysiaKini.com mengenai kenyataan Zakir Naik yang meminta kaum Cina untuk keluar dari negara Malaysia.

“Bagi kedua-dua kes ini pegawai penyiasat telah merakam percakapan Zakir Naik pada 16 Ogos 2019 bermula 3 petang hingga 7 malam, diiringi peguamnya Datuk Akberdin Abdul Kader.

“Prosedur tersebut akan disambung semula pada 19 Ogos ini jam 3 petang memandangkan pendakwa antarabangsa iti memohon penangguhan untuk berbuka puasa,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, pada 13 Ogos lalu, PDRM menerima satu lagi laporan polis daripada seorang pesara kerajaan yang telah membaca melalui media sosial mengenai kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan Persatuan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah adalah satu bentuk Islamisasi.

“Siasatan sedang dijalankan dan rakaman percakapan Pengerusi Persatuan Dong Zong bernama Tan Tai Kim Kim akan diambil dalam masa terdekat,” katanya tanpa mendedahkan tarikh dan masanya.

Katanya, polis turut menerima satu lagi laporan daripada seorang pesara tentera pada 14 Ogos lalu yang membaca melalui media sosial mengenai kenyataan seorang lelaki Cina yang didakwa menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, siasatan kes itu dijalankan dan rakaman percakapan ke atas Tan Sri Khoo Yew Yin akan diambil pada 19 Ogos ini di Ipoh, Perak.

Katanya, bagi dua laporan polis terhadap Zakir Naik dan satu laporan ke atas Dong Zong kesemuanya disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan).

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi kes keempat, siasatan melibatkan kenyataan seorang lelaki Cina yang didakwa menghina ATM, ia disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (Dengan niat mengapikan mana-mana golongan melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan lain).

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) dan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette