Mayat remaja Ireland, Nora Anne Quoirin diusung masuk kedalam van untuk dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2019.

SEREMBAN – Selepas empat hari ditemui dan ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, akhirnya mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin dituntut dan dibawa keluar dari hospital kira-kira pukul 12.40 malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi petugas media yang menunggu di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, HTJ sejak jam 10.30 malam.

“Mayat Nora Anne telah dituntut dan dipercayai dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya ketika dihubungi media, malam ini.

Terdahulu sebuah van berwarna kelabu jenama Toyota dilihat memasuki pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, HTJ tepat jam 12.40 malam dan membawa keranda coklat.

Sejurus selepas itu beberapa petugas membawa keranda tersebut keluar dari van dan dibawa masuk ke Jabatan Forensik.

Lima minit selepas itu kelihatan keranda tersebut dibaluti kain putih dimasukkan semula ke dalam van berkenaan.

Ketika proses membawa keluar mayat Nora Anne, hanya beberapa pengawal keselamatan dan tiga lelaki dipercayai anggota polis berpakaian preman membantu mengawal keadaan.

Nora Anne bersama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin, tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapan itu pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja tersebut dilaporkan hilang.

Laporan bedah siasat semalam mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan mengesahkan bahawa remaja perempuan itu mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh panjang dan tekanan yang berpanjangan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.