Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Kongres Statistik Sedunia Institut Statistik Antarabangsa (ISI) ke 62 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Hanya orang buta, pekak dan bodoh sahaja yang mengatakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sama sahaja dengan Barisan Nasional (BN), tegas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Pernahkan kami meminjam RM42 bilion?

“Apakah kami membuka 1Malaysia Development Bhd.?

“Apakah saya pernah mencuri duit atau merasuah orang?” soalnya ketika menjawab satu soalan mengenai kenyataan Lim Kit Siang yang mengatakan ada pihak yang cuba merendahkan kredibiliti PH.

Tambah Dr. Mahathir, banyak perubahan positif yang telah dibawa oleh PH berbanding semasa pentadbiran BN.

Ini termasuk pelan menghadkan tempoh Perdana Menteri untuk dua penggal di samping kebebasan media.

“Semasa zaman (Datuk Seri) Najib, apakah perkara ini dibenarkan?

“Rakyat sepatutnya menghargai perkara baik yang mereka dapat tetapi mereka hanya melihat kepada perkara buruk kerana mereka mahu menjatuhkan kerajaan,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut mencabar pihak yang menuduh beliau mengambil rasuah untuk membuat laporan supaya beliau boleh dibicarakan mengikut undang-undang negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai tulisan jawi yang menjadi perdebatan baru-baru ini.

Katanya, pendidikan khat adalah bersifat pilihan dan bukannya paksaan.

“Anda tidak perlu ambil (jika tidak mahu).

“Siapa yang mahu ambil (boleh belajar).

“Apa yang susah? Ia adalah pilihan,” katanya. -MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.