KOTA BHARU – Malang tidak berbau bagi pengusaha kelapa apabila beliau cuba menangkap beruk peliharaan bapanya yang terlepas sejak tiga hari lalu, namun cedera teruk setelah diserang dan digigit haiwan itu di bahagian tangan dan kaki kanan mangsa, semalam.

Kejadian terbabit menyebabkan, Hafiruz Hasan, 29, dari Kampung Melor di sini, dirawat di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II, selepas tapak kakinya mengalami luka yang dalam.

Isterinya, Rohana Daud, 40, berkata kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 6.30 petang di Kampung Kedai Melor, Jalan Gunong semasa suaminya cuba menangkap beruk berkenaan.

“Suami balik ke rumah dengan tangan dan kaki berlumuran darah di bahagian tangan dan kaki kanan. Saya ingat beliau kemalangan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini hari ini.

Rohana berkata berikutan kejadian itu, mereka membawa Hafiruz ke Klinik Kesihatan Mahligai dan oleh kerana serius, suaminya dirawat di wad HRPZ II.

Sementara itu, bapa mangsa, Hasan Ahmad, 74, berkata beliau terpaksa meninggalkan beruk jantan yang dinamakan ‘Mat’ itu kepada anaknya kerana perlu menghadiri temu janji di Hospital Selayang, Selangor berikutan mengalami penyakit usus.

“Saya serahkan tugas menjaga Mat kepada Hafiruz, lagipun memang beliau sudah lama menjaga beruk berkenaan.

“Tanggapan saya, Mat yang berusia 20 tahun itu mahu mengawan, sebab itu ia garang dan marah apabila didekati, malah terlucut dari tempat duduknya,” kata Hasan.

Katanya, mengikut petua, beruk yang sedang mengawan atau marah sepatutnya dipujuk dengan baik, tidak boleh terkam ketika mendekatinya, disyorkan menggunakan galah atau kayu panjang bagi mengelak ia terkejut sekali gus menyerang mangsa.

“Saya akan balik ke Kelantan esok dan kami akan buang taring Mat bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang,” katanya. – Bernama