SEPANG – AirAsia hari ini melancarkan laluan baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Belitung, sebuah kepulauan syurga di luar pantai timur Sumatra, Indonesia.

Penerbangan ditawarkan empat kali seminggu bermula 2 Oktober ini.

Belitung, dikelilingi lebih dari 100 pulau kecil dengan pantai yang indah dan air jernih, menawarkan pelancong percutian pulau yang menarik dengan pelbagai aktiviti air dan kecantikan semula jadi.

Ketua Pemasaran Serantau AirAsia Amanda Woo berkata, bagi meraikan laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang istimewa serendah RM79 dari Kuala Lumpur untuk ahli BIG.

Tempah penerbangan anda di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia bermula hari ini hingga 25 Ogos 2019 untuk perjalanan antara 2 Oktober 2019 dan 28 Mac 2020.

Tambahnya, ahli BIG akan menikmati yuran pemprosesan sifar apabila membuat pembayaran menggunakan BigPay.

Dikenali untuk pulau-pulau yang indah dengan pantai berpasir putih, Pulau Pasir, Pulau Batu Burung Garuda, Pulau Leebong dan Pulau Batu Berlayar adalah antara pulau-pulau paling terkenal di sekitar Belitung.

Pelancong juga boleh meneroka pengalaman taman geo yang unik di lokasi tarikan alam semulajadi seperti Gua Kelayang, Lombong Terbuka Kelapa Kampit, Pusat Konservasi Penyu Pulau Kepayang atau Air Terjun Gurok Beraye.

Peminat fotografi harus menuju ke Danau Kaolin, sebuah tasik yang indah dengan perairan lautan biru dan deposit mineral putih, atau Muzium Kata Andrea Hirata, sebuah muzium sastera yang dihiasi dengan warna pelangi.

Di samping laluan baharu ini, AirAsia juga mengendalikan penerbangan harian ke Belitung dari ibu kota Indonesia, Jakarta bermula 1 Oktober. – MalaysiaGazette