Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bercakap pada sidang media sempena Minggu Usahawan Nasional 2019 (MUN2019) di Menara Berkembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat dijangka memuktamadkan pencarian Pengarah Urusan baharunya menjelang hujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof tidak menolak kemungkinan bank koperasi itu akan menamakan Pemangku Pengarah Urusannya ketika ini, Datuk Rosman Mohamad sebagai peneraju bank tersebut jika pencarian calon baharu menemui jalan buntu.

Jelasnya, lembaga pengarah terpaksa menghantar senarai nama calon-calon baharu ke Bank Negara Malaysia setelah senarai yang dihantar sebelum ini ditolak oleh bank pusat itu.

“Bank Negara telah menolak calon-calon yang kita kemukakan atas dasar “fit and proper” jadi kita terpaksa melakukan proses pencarian semula dalam beberapa minggu akan datang.

“Tetapi Bank Negara menerima cadangan kami untuk melantik Rosman sebagai Pemangku Pengarah Urusan bagi melicinkan operasi seharian.

“Kita akan membuat penilaian dan tidak mustahil akan melantik beliau sebagai Pengarah Urusan sepenuhnya jika tidak menemui calon-calon lain (yang lebih layak),” katanya kepada pemberita selepas sidang media Minggu Usahawan Nasional 2019 di sini hari ini.

Jawatan Pengarah Urusan bank koperasi itu kosong selepas kontrak dua tahun Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid tidak disambung semula.

Redzuan sebelum itu memberitahu, kementerian dan lembaga pengarah telah melakukan pencarian bagi menggantikan Zulkiflee dan buat sementara waktu tugasnya dijalankan oleh sebuah jawatankuasa eksekutif.

Pada 1 Ogos lalu, Bank Rakyat mengumumkan pelantikan Rosman sebagai pemangku bagi melicinkan dan meneruskan agenda bank tersebut. – MalaysiaGazette