Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Pas dan UMNO mengapi-apikan rasa kebencian antara perkauman dan agama dalam kalangan orang Melayu manakala MCA dan MIC juga didakwa melakukan perkara sama kepada bukan Melayu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, tindakan yang dibuat oleh Pas, UMNO, MCA dan MIC itu untuk mewujudkan kacau-bilau yang besar agar dapat menamatkan riwayat Pakatan Harapan (PH).

“Suatu contoh yang baik ialah apabila mantan Perdana Menteri, yang juga Penasihat Kebangsaan BN, Datuk Seri Najib Razak mendakwa bahawa DAP hari ini merupakan kingmaker dalam PH, di mana menteri-menteri DAP (yang merupakan bukan Melayu, dan bukan Muslim) yang dilantik menyebabkan peningkatan dalam ketegangan dalam kalangan orang Melayu.

“Namun pada masa yang sama, Najib membidas dirinya sendiri apabila meminta DAP yang konon-kononnya kingmaker untuk meletakkan jawatan kerana gagal untuk menutup kilang memproses nadir bumi Lynas?,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penipuan daripada Najib itu, didedahkan apabila DAP tidak berjaya meyakinkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menutup kilang memproses nadir bumi Lynas, kata Guan Eng.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, DAP akan terus berusaha meyakinkan Perdana Menteri untuk memahami keresahan sebenar yang dibuat oleh pejuang alam sekitar.

Katanya, baik pihak pembangkang mahupun akhbar yang dikawal oleh parti-parti itu tidak akan mengetengahkan kejayaan kerajaan PH yang menggalakkan dalam mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2019 berbanding 4.5 peratus pada suku pertama.

Sedangkan, katanya, Malaysia satu-satunya negara ASEAN yang telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dalam suku kedua berbanding suku pertama 2019.

“Stereotaip ektremis perkauman dan keagamaan itu sebagaimana lazim daripada pihak pembangkang, di mana mereka akan mendendangkan lagu yang berlainan apabila menghadapi golongan bukan Melayu dan bukan Islam.

“MCA atau MIC yang cuba menakutkan-takutkan tentang ekstremis kaum dan agama yang membahayakan golongan bukan Melayu dan bukan Islam, sedang bekerjasama secara erat dengan UMNO dan Pas yang mahu mengambil hak-hak orang bukan Melayu dan bukan Islam.

“Apakah Pas, UMNO, MCA, dan MIC percaya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan latar belakang, begitu mudah diperdaya sehingga akan termakan kebencian etnik dan agama yang sedemikian, untuk mengalihkan tumpuan daripada korupsi pembangkang, mahupun ketidakcekapan pengurusan ekonomi mereka sehingga mereka tidak mampu membayar gaji penjawat-penjawat awam?

“Mimpi dan khayalan Pas, UMNO, MCA dan MIC untuk mengambil kembali Kerajaan Persekutuan, dengan memainkan kebencian kaum dan agama, tidak akan berjaya di ketika kerajaan PH komited untuk mengamalkan pendekatan yang rasional dan moderat terhadap pembinaan negara, dan dalam mengurus isu-isu panas,” ujarnya.

Tambahan lagi, kata Guan Eng, kerajaan PH komited untuk mendengar suara rakyat termasuk pandangan-pandangan berbeza, walaupun keputusan yang dibuat adalah untuk mencari alternatif lain yang lebih baik.

Ini sebahagian daripada demokrasi dan pimpinan DAP akan terus memainkan peranan aktif ke arah proses membuat keputusan lebih baik yang akan menambahbaik demokrasi, kesihatan dan keselamatan awam, serta taraf hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.