KUALA LUMPUR – Skuad bawah 18 (B-18) tahun negara gagal mempertahankan kejuaraan AFF B-18 selepas tewas 0-1 kepada Australia dalam aksi final di Stadium Thong Nhat, Vietnam sebentar tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan Australia berjaya membalas dendam ke atas Malaysia selepas tewas 0-3 pada aksi peringkat Kumpulan B minggu lalu.

Pada masa sama, kemenangan itu turut bermakna buat Australia untuk muncul juara kali kelima sepanjang sembilan kali kejohanan itu berlangsung.

Dalam aksi final, skuad negara dilihat kurang mengasak ke kubu Australia pada separuh masa pertama.

Namun babak kedua menyaksikan anak buah Brad Maloney menampilkan persembahan lebih agresif apabila percubaan terbaik hadir menerusi sepakan jarak jauh Firdaus Kaironnisam pada minit ke-59 yang menggegar palang Australia.

Enam minit selepas itu, skuad negara terus mengancam kubu Australia dan kali ini menerusi percubaan penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin namun berjaya ditepis penjaga gol Kai James Calderbank-Park.

Bagaimanapun Maloney terpaksa memasukkan penjaga gol yang juga kapten skuad negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil selepas Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengalami kecederaan pada minit ke-76.

Belum sempat Firdaus memanaskan badan, dia tertewas dengan sentuhan Lachlan Ricky Brook pada minit ke-79.

Memasuki waktu kecederaan, pintu gol skuad negara hampir bolos lagi menerusi rembatan jarak jauh Kristian Popovic yang menggegarkan tiang.

Skuad negara cuba bangkit memburu jaringan penyamaan dengan beberapa percubaan namun kedudukan 1-0 kekal hingga wisel penamat.

Tahun lalu, skuad B-18 negara muncul juara kejohanan sama selepas menundukkan Myanmar 4-3 di pentas akhir. – MalaysiaGazette