Neelofa.

KUALA LUMPUR – Selain pengamal media, artis dan selebriti juga melahirkan rasa terkejut dengan dengan situasi yang menimpa syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Berhad.

Pelakon dan pengacara, Neelofa menerusi Twitter miliknya semalam berkata, syarikat penerbitan itu banyak membantu membina kariernya sejak awal pembabitan dalam lapangan seni tanahair.

“Saya mahu membalas budi baik mereka. Jika anda kenal sesiapa daripada bahagian sumber manusia atau mana-mana syarikat yang ingin mencari pekerjaan, tinggalkan butiran anda!,” tulisnya.

Semalam, lebih 100 kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad mengadakan piket di luar bangunan syarikat akhbar itu bagi menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Piket yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 1 tengah hari itu diadakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Isu kelewatan bayaran gaji menyebabkan kakitangan syarikat berdepan kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan harian.

Selain itu, bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisah Sukarela (VSS) turut menerima nasib sama apabila bayaran terakhir yang diterima adalah pada Jun lalu

Lebih menyedihkan lagi apabila syarikat akhbar keramat yang sinonim dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat Melayu itu difahamkan akan memberhentikan operasi mencetak akhbar bermula esok.

Difahamkan operasi harian syarikat hanya akan berjalan menerusi platform digital sehingga diberitahu kelak.

Selain itu, penyanyi terkenal, Hattan juga melahirkan rasa sedih memandangkan Utusan antara syarikat penerbitan yang banyak membantu sepanjang kariernya.

“Ya Allah, Ya Tuhanku, permudahkan lah rezeki mereka mereka yang bertugas diutusan…keluarkanlah mereka dari kesengsaraan ini Ya Allah.

“Tak terbalas saya jasa Utusan Malaysia ini. Dari awal penglibatan saya dalam dunia seni hingga hari ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast