Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Dr Zakir Naik dinasihatkan  agar menunjukkan teladan yang baik sebagai pendakwah dan tidak memperlekehkan status dan kewarganegaraan kaum tertentu meskipun negara ini bebas bersuara.

Sekiranya Zakir gagal menjaga keharmonian semua kaum dalam negara ini dengan kenyataan-kenyataannya yang kontroversi maka beliau tidak boleh menyalahkan kerajaan sekiranya diusir  keluar.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan tetapi  ia bukan mutlak.

Tiada siapa pun, walau seorang ulama besar mahupun negarawan, mempunyai kebebasan untuk memperlekehkan status, kedudukan dan kewarganegaraan kaum tertentu di Malaysia.

“Kepada Zakir Naik, anda telah dilayan dengan terhormat di negara ini. Dan anda seorang pendakwah yang terkemuka. Maka adalah tanggungjawab anda untuk berlaku bijaksana dan menunjukkan teladan bahawa Islam itu adalah kebaikan untuk semua.

“Jika anda tidak berupaya melakukan itu, maka anda tidak boleh menyalahkan Kerajaan Malaysia jika ia bertindak keatas saudara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penceramah bebas, itu sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan yang terus memberikan perlindungan terhadap beliau.

Justeru perlindungan yang diberikan dengan status penduduk tetap terhadapnya untuk menetap dengan selamat di negara ini dan digesa tidak mendatangkan masalah kepada kerajaan.

Zakir kini telah dilarang menyampaikan ceramah umum di semua negeri di Malaysia termasuk di media sosial.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat, Polis Diraja Malaysia, Datuk Asmawati Ahmad, larangan tersebut dibuat atas sebab keselamatan negara dan bagi mengekalkan keharmonian kaum di negara ini.

Dalam kenyataan tersebut, Mohamad menyifatkan cadangan mengusir Zakir hanya akan mengancam nyawa dan melanggar hak asasi manusia.

Lantaran  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diharap membuat keputusan yang rasional dan dalam masa yang sama mengambil kira situasi politik dalam negara.

Jelas Mohamad, keadilan terhadap pendakwah itu terbukti hanya apabila hak asasinya dihormati.

“Walau macam mana tidak bersetuju pun kita dengan pendapat Zakir Naik dalam isu tertentu, keadilan hanya akan dapat dicapai jika kita mendapat jaminan hak asasi beliau dihormati, jika beliau diusir.

“Jika diyakini hak asasi itu akan dikompromi, maka Malaysia bertanggungjawab untuk bertindak dengan bijaksana berdasarkan amalan terbaik perundangan antarabangsa.

“Perdana Menteri harus mengimbangi kepentingan nasional, hak asasi Zakir Naik dan pertimbangan politik pelbagai kaum di Malaysia. Yang pasti, kita mengharapkan keputusan berhikmah dari beliau,” katanya. – MalaysiaGazette