Ketua Wiranita Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Intan Rahmah Ali.

KUALA LUMPUR – Tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik oleh pihak tertentu kebelakangan ini seolah-olah perbuatan merendahkan agama Islam, Raja Melayu dan kedaulatan negara.

Perbuatan provokasi itu juga mencabar dan sengaja mahu mempersenda selain menunjukkan pengkhianatan terbuka kepada negara.

Ketua Penaja Wiranita Parti Putra, Intan Rahmah Ali menjelaskan, Jalur Gemilang atau bendera Malaysia merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan sesebuah negara.

Bagaimanapun, tegasnya, jika ada pihak dengan sengaja menterbalikkannya, mereka jelas mempunyai niat jahat untuk menunjukkan protes.

“Dengan meletakkan warna kuning yang melambangkan Raja Berperlembagaan dan simbol bulan sabit sebagai lambang agama Islam ke bawah, ini jelas menghina institusi beraja dan Islam yang merupakan agama rasmi negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai tindakan syarikat UMW Toyota Malaysia memohon maaf kerana memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan mendakwanya tidak sengaja, Intan Rahmah berkata, Wiranita sama sekali tidak boleh menerimanya.

Soal beliau, adakah permohonan maaf itu mencukupi setelah menimbulkan kemarahan dan melukai perasaan seluruh rakyat Malaysia dengan tindakan yang tidak sensitif dan biadab itu.

“Adakah ini sikap yang perlu dipamerkan jika anda benar-benar cintakan negara? Di manakah sikap patriotik anda sebagai warganegara Malaysia? Adakah tindakan tidak bertamadun, tidak sivil dan kurang ajar sedemikian menunjukkan sikap hormat dan meneguhkan prinsip rukun negara?

“Ibu pejabat UMW Toyota di Jepun seharusnya memberi amaran keras dan mengambil tindakan terhadap kedua-dua UMW Toyota Malaysia yang mewakilinya dan wakil pengedarnya iaitu Toyota PDC Auto Kuantan Sdn. Bhd. di atas kebiadapan tindakannya.

“Begitu juga pihak berkuasa, seharusnya mengambil tindakan tegas terhadap syarikat automotif tersebut dan wakil pengedarnya,” kata beliau.

Namun, katanya, sehingga kini pihak UMW Toyota sama ada di Jepun mahupun pihak berkuasa belum mengambil apa-apa tindakan terhadap UMW Toyota Malaysia.

“Dengan tiada tindakan tegas diambil menyebabkan lebih ramai pihak lain membuat perkara yang sama kerana berasa pihak berkuasa mengambil sikap enteng terhadap perkara ini dan berasa tidak takut sebarang tindakan tegas akan diambil ke atas mereka.

“Perkara ini serius. Tindakan undang-undang perlu diambil ke atas mana-mana pihak yang bertindak sedemikian walaupun mereka sudah meminta maaf bagi memberikan pengajaran kepada rakyat supaya tidak sesekali menunjukkan sikap biadab terhadap negara.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia mengecam, menyelar dan mengutuk tindakan biadab dan melampau ini supaya tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau mahu semua pihak mengibarkan Jalur Gemilang di setiap kawasan untuk menyatakan cinta kepada negara, lebih lagi dalam bulan kemerdekaan ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.